Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini beliau menyatakan kesediaannya sebagai tanda sokongannya terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik yang menular.

“Saya telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, khususnya mengenai kepentingannya terhadap usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

“Justeru, saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 bersama Perdana Menteri sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik ini,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Hadi menyeru semua pihak untuk bersama berganding bahu dan menggembleng usaha memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya, fokus utama sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih.

Pada 22 Disember lalu, Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini pemberian vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia, menawarkan diri untuk menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin itu.

Beliau berkata, ia bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin Covid-19 diperoleh itu adalah selamat dan berkesan.

Ini, katanya, akan diikuti dengan petugas barisan hadapan, sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sila dahulukan atau utamakan suntikan vaksin kebal untuk para pesakit Cocvid -19 supaya kita dapat saksikan berapa peatus dari mereka lekas sembuh, takkan tak boleh kot?

Comments are closed.