Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta tidak menjadi jurucakap kepada pasaran dalam menangani isu kenaikan harga barang.-Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta tidak menjadi jurucakap kepada pasaran dalam menangani isu kenaikan harga barang.
Malah, kementerian ini tidak terus memainkan sentimen bencana alam dan permintaan dalam mengendalikan isu ini.
Sebaliknya, kementerian perlu bertindak lebh iagresif dalam mencari kaedah terbaik dalam menangani kenaikan harga barang yang kini menyebabkan para pengguna ‘menangis’.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, KPDNHEP sepatutnya menyemak semula harga-harga barang yang didakwa naik oleh pengguna dan mencari jalan untuk menstabilkannya dengan pantas.
Menurutnya, harga barang-barang keperluan naik bukan semasa berlaku bencana alam sahaja tetapi sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
Ini bermakna sudah lebih setahun pengguna merasai beban kenaikan harga barang-barang keperluan.
Jacob George
”Sebelum ini, pengguna mengadu harga barang-barang naik – kementerian dakwa sebab berlakunya PKP yang mengakibatkan permintaan luar biasa disebabkan pembelian panik.
“Apabila baru-baru ini pengadu mengeluh kenaikan kebanyakan harga barang, dikatakan banjir.
”Semasa bekalan minyak masak 1 kilogram kurang, dikatakan pula berlaku permintaan luar biasa.
“Alasan-alasan ini bukan penyelesaian. Bahkan kalau turun padang pun, masalah tak selesai jika tindakan proaktif tidak dilakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain itu, menurut beliau, semasa PKP 1.0 lalu  bekalan roti didakwa berkurangan kononnya permintaan tinggi, tetapi apa tindakan kementeriana apabila syarikat roti menaikkan makanan itu.
Jacob berkata, penyelesaian yang dinanti-nantikan oleh pengguna ialah harga barangan keperluan lebih murah bukan sebaliknya memandangkan rata-rata poket rakyat pada hari ini terjejas teruk akibat kesan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, bukan B40 sahaja semakin terdesak, tetapi golongan M40 juga sudah tidak mempunyai pendapatan boleh guna lagi.
Dalam berdepan situasi ini, Jacob berkata, kementerian sepatutnya duduk semeja dengan pemain-pemain industri dan meminta mereka menghentikan ‘permainan’ ketika rakyat bergelut dengan pandemik.
“Berdasarkan pengalaman lampau, masalah ini memang boleh dilakukan dengan political will dan kerajaan ada caranya,” ujar Jacob dengan yakin.
Katanya, para peserta pasaran sebenarnya mendapat banyak subsidi kerajaan.
Jadi, apa gunanya subsidi yang diberikan kepada golongan ini jika mereka tidak dapat membalasnya dengan menurunkan harga barang dalam tempoh-tempoh sukar ini ketika rakyat ditimpa kesusahan.
”Negara akan meraikan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, selepas itu bulan Ramadan dan kemudian Hari Raya Puasa dan peraayaan-perayaan lain. Oleh itu, kita tidak mahu ‘tangisan’ rakyat berlaku sepanjang pandemik.
”Jangan lihat isu kenaikan harga barang sebagai isu ringan. Isu harga barang bukan isu biasa-biasa. Tetapi isu ini harus dilihat sebagai jaminan keselamatan makanan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette