Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR – Harga barangan keperluan harian pengguna termasuk bahan basah yang mencanak naik dua bulan lalu sudah semakin stabil dan dijangka kembali normal pada minggu depan.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin tidak menafikan kenaikan harga barang namun ia tidak ada kena mengena dengan ketidaktentuan politik negara.

Sebaliknya ia berlaku disebabkan oleh masalah rantaian bekalan yang dipacu oleh banjir dan penularan Covid-19.

Beliau berkata, kenaikan harga barang sejak akhir tahun lalu kerana beberapa negeri mengalami banjir yang menyebabkan ladang-ladang musnah dan jalan-jalan raya ditutup hingga menyukarkan untuk mengangkut bahan-bahan mentah.

”Contohnya, apabila berlaku banjir, maka bekalan sayur-sayuran di Cameron Highland tidak dapat dibawa turun, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan.

”Logiknya jika berlaku kekurangan bekalan, sudah tentu harga dinaikkan disebabkan permintaan yang tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ameer mengesahkan bahawa tiga minggu lalu harga ikan kembung dijual pada harga RM12.90 sekilogram tetapi kini turun kepada RM9.

Manakala ikan mabong dan ikan selar, masing-masing jual pada RM19.90 dan RM23 sekilogram tetapi hari ini lebih murah kepada RM17 dan RM19.

Ikan cencaru sekarang dijual RM9 sekilogram berbanding RM11 tiga minggu lalu manakala kerisi dijual RM16 berbanding RM19 tiga minggu lalu dan sardin pula RM10 berbanding RM13 sebelum ini.

Katanya, bagi harga sayur pula hanya kacang buncis yang masih kekal tinggi iaitu RM19 sekilogram sekarang berbanding RM17 tiga minggu lalu.

Artikel berkaitan:Kenaikan harga barang tambah beban rakyat – Tok Mat

Harga barang melonjak: Salah peniaga atau siapa?

70,689 aduan kenaikan harga barang sejak awal PKP – Alexander

Peniaga ambil kesempatan catut harga barang akan berdepan tindakan – Menteri

Harga tomato sudah turun kepada RM5.50 berbanding RM9 tiga minggu lalu, kacang panjang juga RM10 berbaning RM13.

Timun juga dijual RM2 sekilogram sekarang berbanding RM5.

Bendi yang dijual RM16 sekilogram tiga minggu lalu, turun kepada RM10 sekarang.

Cili merah yang melonjak kepada RM22 tiga minggu lalu juga turun kepada RM18.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad berkata, selain faktor banjir, penularan Covid-19 hingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 menyebabkan operasi di pasar borong di ibu negara terjejas kerana kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.

Bukan sahaja masa operasi terhad tetapi PKP 2.0 menyebabkan pasar borong kekurangan pekerja terutama peniaga yang mengambil pekerja asing tanpa izin (PATI).

Katanya, pekerja PATI tidak berani keluar bekerja kerana khuatir akan ditangkap oleh pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Selain isu ini, penularan Covid-19 turut mengakibatkan import barang-barang makanan terjejas ekoran masalah kontena yang berlaku di seluruh dunia kerana penambahan penghantaran dari Asia ke Eropah.

Ameer berkata, dulu harga sewa sebuah kontena hanya AS$1,000 hingga AS$2,000 sahaja tetapi kini meningkat sehingga AS$6,000 sebuah.

Kekurangan dan kenaikan kos sewa kontena ini turut menjejaskan pengagihan barangan keperluan pengguna.

“Kita berharap keadaan ini semakin pulih menjelang bulan Mac dan April nanti,” katanya.

Beliau menambah, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum pulih, para peniaga juga mengambil sikap berhati-hati dalam menguruskan stok masing-masing bagi mengelakkan kerugian.

Rata-rata peniaga banyak belajar semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya tahun lalu.

“Ketika itu peniaga-peniaga membeli barangan keperluan banyak seperti membeli buah oren dari China tetapi tidak dapat dijual disebabkan pelaksanaan PKP, akhirnya menjejaskan mereka,” tambah beliau.

Ameer juga menjangkakan perbelanjaan pengguna di negara ini merosot disebabkan pandemik ini kerana pelaksanaan PKP telah mengehadkan orang ramai keluar.

Situasi ini menyebabkan pengguna semakin kurang berbelanja, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hello, tempat mana lu performance?? Kedai sendiri boleh bagi free saja. Siapa nak turun harga. Kalau betul2 harga turun, pastikan satu Malaysia.

Comments are closed.