Rahimi (kanan) menunjukkan pistol yang dirampas dalam milikan suspek di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Hanya kerana perselisihan faham berkaitan hutang seorang lelaki diugut tembak dua kenalannya dalam satu kejadian di sebuah apartmen di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas semalam.

Kejadian jam 10.54 pagi itu dilaporkan ayah mangsa selepas bimbang faktor keselamatan anaknya yang berusia 30-an.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, bertindak atas laporan itu pihaknya menahan dua lelaki di sebuah hotel di kawasan Lebuh Victoria pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 34 tahun polis menemui sepucuk pistol jenis Glock yang diselitkan pada pinggangnya serta tujuh butir peluru hidup.

Pistol serta peluru hidup antara dirampas dalam milikan salah seorang suspek.

“Pemeriksaan ke atas beg galas suspek berusia 24 tahun pula kita menemui sekeping kad kuasa polis, sebilah pisau serta syabu seberat 0.9 gram.

“Hasil siasatan awal mendapati ugutan tembak itu dibuat terhadap mangsa berkaitan hutang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Rahimi menunjukkan kereta yang dirampas dalam milikan dua suspek.

Turut dirampas sebuah kereta yang disewa suspek untuk kegunaan mereka.

Menurutnya lagi, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan kad kuasa polis itu.

“Kad kuasa polis itu tulen dan kita ada siasat ada penglibatan anggota atau sebaliknya.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek berusia 27 tahun itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” ujar beliau.

Tambah Rahimi, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamphetamin itu direman selama lima hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette