Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan sifar penularan kes tempatan pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Jumlah kes harian Covid-19 dijangka mendatar selepas berjaya melepasi kemuncak kes tertinggi pada 31 Januari lalu dengan 5,298 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, penurunan kes yang dilihat kini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tiga minggu lalu.

“Sebelum ini kita jangkakan jumlah kes kembali menurun selepas pelaksanaan PKP dalam tempoh empat minggu, kini kita memasuki minggu ketiga dan baki seminggu itu kita mungkin lihat penurunan lagi kes Covid-19.

“Di negeri juga kita lihat terdapat penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) iaitu Sabah kini dengan 0.81 dan Kelantan 0.77,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya, disini hari ini.

Noor Hisham berkata, kebanyakan kes di Kelantan berpunca daripada kes rentas negeri iaitu terdapat 31 kluster dikesan dan 96 peratus daripadanya membabitkan warganegara.

Malah katanya, Terengganu turut menunjukkan penurunan nilai RT iaitu 0.86 serta Sarawak 1.0 dan diharapkan penularan kes di Sarawak itu akan dapat dikawal.

Justeru Dr Noor Hisham berkata, disebabkan nilai RT menunjukkan perkembangan baik, beliau meminta supaya masyarakat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika perayaan Tahun Baru Cina kelak. – MalaysiaGazette