Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini membenarkan pelanggan makan di dalam restoran, namun terhad kepada dua orang satu meja, berkuasa kuasa, esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, kebenaran diberikan dengan syarat penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Pemilik restoran juga perlu memberi tugasan kepada sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi premis yang membenarkan makan di dalam restoran.

“Pemilik restoran juga perlu memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis, memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan serta penjarakan fizikal satu meter semasa berada di premis,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, semua aktiviti penjualan makanan yang dibenarkan secara makan di dalam restoran, bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran bermula jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.

Bagi tujuan itu juga, orang ramai juga diwajibkan menggunakan aplikasi My Sejahtera di kawasan capaian internet yang luas.

“Ini kerana didapati bahawa pelanggan tidak mencatatkan nama dan nombor telefon yang betul dan ianya menyukarkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes positif Covid-19 di premis-premis terlibat.

“Arahan ini adalah berkuat kuasa serta-merta. Walaubagaimanapun, pengecualian diberikan bagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette