Ir. Khairil Nizam

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) melihat serangan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai hamburan kata-kata jelik di media sosial rasmi pemimpin atau institusi tertinggi negara sebagai tindakan melampau.

Ketuanya, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, para pembenci itu adalah golongan yang mementingkan diri dan mempunyai motif, sebab mereka tidak tahu meletakkan kritikan pada tempatnya.

“Mereka melontarkan kebencian dengan merencahkan keburukan dan memarakkan segala ketidakpuasan hati ternyata diapi-apikan secara berlebihan.

“Sedangkan, kesopanan dan kesusilaan adalah Rukun Negara yang menunjukkan salah satu penghormatan serta ciri sepatutnya ada pada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Khairil Nizam berkata, mereka tidak tahu membataskan jari jemari sendiri hingga menampakkan tiada kesetiaan kepada Raja dan Negara yang juga satu daripada Rukun Negara.

Kerana itu, ujar beliau, tidak pelik perkara sama dibawa hingga ke platform pemimpin negara lain yang ketara menunjukkan rasa tidak hormat kepada sesiapa sahaja.

“Walhal, Perdana Menteri telah bertindak berasaskan undang-undang dan segala keputusan adalah secara kolektif yang bukannya peribadi apatah lagi untuk dituduh diktator.

“Malah, ia mendapat pengesahan atau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaku payung dan pemerintah tertinggi serta kedaulatan negara.

“Demikian itu, perbuatan memburukkan Perdana Menteri selaku pemimpin utama pentadbiran negara serta membangkitkan unsur menentang perkenan diterimanya bermakna merendahkan kedaulatan negara,” katanya.

Apatah lagi, menurut Khairil Nizam, hal tersebut dilakukan terbuka dan diheret hingga ke pihak luar yang boleh menjejaskan nama negara.

Kata beliau, dalam situasi yang sedang melingkari seluruh negara dan dunia akibat pandemik Covid-19, di mana negara telah diisytiharkan di bawah Proklamasi Darurat, tidak harus setiap perkara mahu dilihat sempurna.

“Keutamaan kita bersama adalah memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pihak disantuni dengan sebaiknya.

“Beberapa insentif diumumkan kerajaan membuktikan kesungguhan dalam menangani cabaran dihadapi rakyat terutama kalangan B40 dan M40 serta tanpa mengabaikan T20.

“Pergerakan yang dilihat perlahan perlu dikompromi dan difahami semua bahawa ia terjadi atas kekangan terbatas sedang dihadapi di setiap peringkat,” ujarnya.

Beliau berkata, hanya kesabaran yang disertai rasa kebersamaan dan keinginan membantu akan membolehkan mereka menerima untuk segala urusan berkaitan sedang dipacu memenuhi tujuannya.

Malah, jika agenda politik dan kuasa menjadi tekanan kepada pihak tertentu, ingatlah bahawa Perdana Menteri telahpun berjanji. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.