Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azman Mahmood

KUALA LUMPUR – Penetapan harga siling RM35 setiap beg bagi Benih Padi Sah (BPS) tahun ini  bagi mengelak manipulasi dan harga lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azman Mahmood selepas mengesan ada penjualan benih padi secara haram oleh ejen-ejen atau orang tengah kepada pesawah tanpa mempunyai lesen yang sah daripada Kawal Selia Padi dan Beras.

Menurut beliau, kementerian mengambil inisiatif dengan melaksanakan mekanisme itu ekoran isu sama yang berulang pada setiap musim penanaman padi sehingga menyebabkan berlaku isu kelewatan penghantaran benih padi.

“Malah harga yang dibeli oleh pesawah turut tidak terkawal sehingga dijual pada harga RM33 hingga RM60 setiap 20 kilogram benih padi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, bagi mengatasi isu manipulasi harga dan pengedaran benih padi, MAFI telah melaksanakan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) di bawah Seksyen 4(2) iaitu melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal.

“Seterusnya, mengeluarkan lesen peruncit hanya kepada 145 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkaitan tanaman padi di Semenanjung Malaysia dan menetapkan harga siling benih padi sah di paras maksimum sebanyak RM35 per beg kepada pesawah tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan.

“MAFI juga melaksanakan pengawasan kualiti di sepanjang rantaian nilai benih padi sah. MAFI kini dalam proses mengenal pasti syarikat-syarikat baharu untuk dipertimbangkan sebagai panel pengeluar benih padi sah bagi tempoh tiga tahun akan datang,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 81,000 beg telah diedarkan kepada  Selangor, Perak dan Pahang melalui ejen rasmi yang berlesen melalui PPK.

Menurut Azman, penggunaan benih padi sah oleh pesawah amat penting kerana dapat mengatasi padi angin di samping meningkatkan mutu pengeluaran padi dan beras negara secara konsisten. – MalaysiaGazette