Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Tidak wujud sebarang khabar angin atau ura-ura yang menjurus ke arah niat untuk memecat Tan Sri Annuar Musa.

Sebaliknya, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu sengaja membangkitkan tanggapan serta sentimen kononnya beliau adalah mangsa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenyataan Annuar itu hanya akan membuka ruang salah faham yang tidak baik, sama ada dari luar mahupun dalam parti.

“Adalah tidak sihat untuk beliau terus-menerus mengkritik parti secara terbuka seperti sekarang. Ia tidak menguntungkan UMNO. Ia melemahkan setiakawan dan secara sistematik, mengelirukan parti.

“Sebagai ahli lama, beliau mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian pandangan kritikalnya.

“Lebih penting, tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti serta masyarakat luar yang sedang memerhati UMNO secara rapat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Annuar semalam, yang dilaporkan tidak akan mengalah sekiranya dipecat dari UMNO kerana dikatakan pro kepada sebuah parti Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau istiqamah dengan pendiriannya bahawa UMNO hanya akan menjadi kuat sekiranya berupaya bermuafakat dan bekerjasama dengan semua parti Melayu lain.

“Saya tak akan give up walau saya dipecat kerana dikatakan pro sebuah parti Melayu (parti Bersatu) dan saya istiqamah dengan pendirian saya bahawa UMNO akan menjadi kuat kalau bekerjasama dengan parti lain,” kata Annuar.

Menurut Mohamed Khaled, UMNO sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan Barisan Nasional (BN) dan pada masa sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Kata beliau, segala kerjasama membentuk kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersadarkan mandat dan pilihan rakyat.

“Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, UMNO akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak UMNO dalam ikhtiar ini, sangat terletak kepada pilihan rakyat. Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat.

“Keputusan UMNO untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) kerana kedua-duanya tidak pun diyakini oleh rakyat.

“Malah, sebahagian daripada mereka juga sudah ditolak terang-terangan dan ada yang sampai diheret ke mahkamah oleh pengundi di kawasan mereka untuk dilucutkan dari jawatan,” kata beliau.

Menurutnya, kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama UMNO dan perikatan itu tidak strategik, apatah lagi tiadanya usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu.

“Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak UMNO dengan sebegitu rupa? Sekali pun UMNO sendiri sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya UMNO sangat sedar sokongan bukan Melayu turut penting.

“Tidak ada pihak yang dapat menafikan perkara ini dan atas dasar ini, UMNO yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua. Bukannya PH atau PN,” katanya.

Justeru, katanya, seandai UMNO sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi serta perjuangan peribadi Annuar, janganlah bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan parti ini.

“Ia hanya mengelirukan orang ramai,” katanya.

Tambahan pula, jelas beliau lagi, UMNO sedang diperkasakan dan memerlukan semua pihak untuk bersama dalam perjuangannya serta membantu mengukuhkannya.

“Bukan membiarkan UMNO diserang-serang, diperkotak-katikkan, malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan UMNO.

“Parti ini lebih besar dari perjuangan dan kepercayaan seorang individu. UMNO adalah milik rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan masa depan UMNO,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kluster mahkamah bercakap mcm tin kosong. Sy nk sokong parti Gerakan la, mereka keluar dr BN sebab dr awal lg tidak pun diyakini oleh rakyat.

  2. Betul tu..semua pemimpin UMNO dari Presiden sampailah yg ke bawah..semua buruk..so apa lg Nuar Musa…blaaah jer laa mcm Tokpa tu…

Comments are closed.