Conte dan presiden JUventus bertembung di tepi padang selepas perlawanan separuh akkhir Coppa Italia semalam.

ROM – Juventus menundukkan Inter Milan dengan agregat 2-1 untuk mara ke perlawanan akhir Coppa Italia berikutan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi timbal balik separuh akhir awal pagi tadi.

Namun di sebalik permainan itu berlaku sketsa lain di tepi padang apabila menyaksikan pengurus kedua-dua pasukan itu saling mengutuk dan mencarut.

Selepas wisel penamat ditiup, Antonio Conte yang mengemudi Inter Milan dikatakan tidak puas hati dengan keputusan itu sebelum bertindak menunjukkan jari tengah ke arah Presiden Juventus, Andrea Agnelli.

Agnelli yang berang dengan perbuatan Conte pula melontarkan kata-kata kesat ke arah pengurus pasukan pelawat itu mencetuskan ketegangan antara mereka.

Conte mendakwa Juventus perlu sopan dan menjelaskan kebenaran tentang insiden itu.

“Mereka sepatutnya bersikap beradab dan menghormati pihak lawan. Lagi pun saya tidak mempunyai niat untuk menyentuh mengenai insiden itu,” katanya.

The Old Lady yang selesa dengan kemenangan 2-1 di Milan pada aksi pertama, mengharungi saat cemas sebelum mengesahkan tiket ke pusingan akhir untuk musim kedua berturut-turut.

Bekas pemain Manchester United Romelu Lukaku and Achraf Hakimi terlepas peluang keemasan untuk mengejutkan juara bertahan Serie A itu.

Rembatan kencang bintang sensasi Juventus iaitu Cristiano Ronaldo pula berjaya dinafikan oleh penjaga gol Milan Samir Handanovic.

Dalam aksi pertama sebelum ini Inter selaku tuan rumah mendahului Juventus dengan gol pertama menerusi penyerang Argentina, Lautaro Martinez namun Ronaldo berjaya menjaringkan gol berganda untuk mendapatkan kemenangan.

Juventus akan bertemu sama ada Atalanta atau Napoli yang akan membuat perhitungan dalam satu lagi aksi timbal balik separuh akhir malm Rabu.

Pusingan akhir dijadualkan pada 19 Mei ini.

Juventus tewas kepada Napoli menerusi penalti pada final musim lalu dan dijangka akan menebus kekalahan itu kali ini jika ditakdirkan bertemu semula dengan pasukan juara bertahan itu sekali lagi.-MalaysiaGazette