Pemilik restoran India Gate, S Saravanan.

KUALA LUMPUR – Para pengusaha restoran boleh menarik nafas lega berikutan keputusan kerajaan membenarkan pelanggan menjamu selesa di restoran, walaupun dihadkan kepada dua orang untuk setiap meja.

Pemilik restoran India Gate, Saravanan Subramaniam berkata, ia merupakan keputusan yang dinanti-nantikan oleh pengusaha restoran kerana memahami keadaan mereka.

“Bukan kami tidak faham dengan bahaya penularan pandemik Covid-19 tetapi keadaan ekonomi serta kutipan harian kita juga semakin terjejas dan tergugat sehingga kami mati kutu.

“Dengan beri kebenaran walaupun hanya dua orang satu meja, cukuplah untuk kami tarik nafas lega. Pastinya peluang ini kita akan manfaatkan dengan sebaiknya sambil mematuhi semua garis panduan ditetapkan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, pengusaha restoran dan pelanggan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum ini Saravanan pernah meluahkan kebimbangan tentang kutipan harian perniagaannya yang merosot  hampir 95 peratus.

Pemilik Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2021.

Sementara itu, Pemilik Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad gembira dengan keputusan itu berkata, perniagaannya teruk ketika PKP dilaksanakan.

“Nasib baiklah ada kawan-kawan yang banyak beri sokongan ketika musim PKP ini, kalau tidak entah apa nasibnya. Saya ucapkan terima kasih sangat dan mungkin boleh minta kerajaan pertimbang alternatif lain selepas ini jika ada keperluan kuatkuasakan PKP lagi.

“Jika selalu kami tutup operasi atau hanya sekadar ‘take away’ lama-lama lingkup juga, keadaan ekonomi ketika ini sangatlah membimbangkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak muda yang sudah berkecimpung dalam perniagaan itu menasihatkan agar orang ramai terus mematuhi SOP agar penularan Covid-19 dapat dihentikan. – MalaysiaGazette

PRESMA, PPMM gembira makan di restoran dibenarkan