Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei yakin temasya sukan terbesar dunia itu akan memberi pengalaman unik kepada semua atlet dan pegawai negara.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia itu berkata, atlet dan pegawai perlu berkorban bagi menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu yang bakal diterapkan pada temasya itu yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Dengan temasya berlangsung dalam keadaan pandemik Covid-19 masih belum reda, kita faham pasti akan ada syarat tambahan dan kekangan. Jadi, atlet dan pegawai kita perlu berkorban, menyesuaikan diri dan menjadi fleksibel.

“MOM (Majlis Olimpik Malaysia) komited dan berdiri teguh bersama IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) serta jawatankuasa penganjur bagi memastikan atlet dan pegawai kita faham dengan kekangan baharu ini.

“Kami juga akan terus bekerjasama dengan IOC dan jawatankuasa penganjur termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan bagi memastikan atlet kita mempunyai persekitaran dan platform yang ideal untuk memberikan prestasi terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini dalam kenyataan yang sama, Chong Wei memberitahu beliau turut mengambil bahagian pada sesi taklimat mengenai buku panduan untuk atlet dan pegawai pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dibentangkan oleh pegawai IOC dan jawatankuasa penganjur semalam.