Daging kerbau dari India dirampas kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf pihak berkuasa negara.

BUTTERWORTH –  Lebih 335 tan daging kerbau sejuk beku bernilai RM4.2 juta dirampas kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

Daging dari negara India itu dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan ke atas kontena daging tersebut di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT) di sini.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, 12 kontena berisi 17,370 kotak daging itu disita secara berperingkat bermula Isnin hingga semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan daging tersebut menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa negara.

Pegawai MAQIS Pulau Pinang memeriksa kontena yang membawa daging kerbau bernilai RM4.2 juta di NBCT, Butterworth semalam.

“Daging kerbau bernilai RM4.2 juta itu disita bagi membolehkan pihak kami menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali. yang sama, boleh didakwa di bawah akta sama yang digunapakai oleh Jabatan MAQIS.

Sebahagian daging kerbau guna logo halal mengelirukan yang dirampas.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk bagi memastikan tumbuhan, haiwan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, sekali gus  bebas ancaman penyakit dan bahan cemar. – MalaysiaGazette