KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi kelonggaran beroperasi kepada beberapa sektor lagi yang berkaitan dengan sukan dan aktiviti riadah mulai esok menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara aktiviti memancing yang dibenarkan ialah kolam, pelantar, kelong, rumah rakit dan bot vessel manakala pertandingan tidak dibenarkan.
Katanya, semua aktiviti itu perlu mematuhi SOP ketat seperti wajib mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan, manakala penjarakan fizikal ialah dua meter setiap pemanding dan tempat duduk ditanda dengan jelas.

“Setiap premis memancing perlu menyediakan buku daftar pelanggan, kod pengimbas MySejahtera, pencuci tangan dan setiap premis perlu dinyahkuman setiap dua jam serta tutup sehingga jam 10 malam.
“Bagi aktiviti memancing dengan sampan atau bot pula, SOPnya bilangan penumpang termasuk jurumudi tidak lebih 50 peratus dari kapasiti asal dan perlu mendaftar dengan PBT serta Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, mesyuarat khas juga mendengar permohonan dari Kementerian Pengangkutan dan atas nasihat serta penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan bersetuju membenarkan institut memandu serta Pusat Latihan Penerbangan beroperasi, juga mulai esok.
Seperti biasa, katanya, kebenaran operasi itu mesti melalui SOP yang ketat, seperti waktu operasi mulai jam 7.30 pagi hingga 7.30 malam, dengan calon dan pengajar wajib memakai pelitup muka.
Beliau berkata, kedua-dua pihak juga mesti memastikan hanya calon sahaja yang berada di premis, manakala pengiring calon tidak dibenarkan sama sekali.
Selain itu, kata Ismail Sabri, beberapa aktiviti sukan khusus bersifat individu juga dibenarkan, seperti jogging, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang termasuk tenis, badminton, pingpong bagi acara perseorangan.
“Sukan permotoran dua roda dan empat roda juga dibenarkan, termasuk aktiviti latihan kendiri seperti bola sepak, hoki, takraw, gimnasium dan golf.
“Pengunaan pusat kecergasan seperti dewan badminton, dewan tenis, sukan khusus padang, golf, futsal dan pusat litar permotoran hendaklah secara tempahan sahaja, kaedah lain tidak dibenarkan sama sekali,” katanya. – MalaysiaGazette
















