case item The Attorney-General’s Chamber (AGC) in Putrajaya. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 04 NOVEMBER 2020. Hasanah Abdul Hamid US$6.94 million case item MACC MEIO
Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

SEGERAKAN pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Begitulah gesa Timbalan Speaker Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said susulan memoir mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. https://malaysiagazette.com/2021/02/10/memoir-thomas-azalina-gesa-peranan-ag-dan-pendakwa-raya-dipisahkan/

Malah gesaan yang sama telah dibuat oleh Transparency International Malaysia (TI-M) susulan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk tahun 2020 turun dua mata dan enam tangga, dari tangga 51 pada 2019 ke tangga 57 pada 2020.

Menurut TI-M, antara sebab pencapaian negara yang tidak membanggakan itu adalah  pembaharuan institusi (institutional reforms) yang tidak terlaksana. Ini termasuklah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang masih belum disuarakan oleh kerajaan sekarang.

Tidak adakah model pengasingan kuasa antara kedua-duanya di negara lain yang boleh dijadikan rujukan yang memungkinkan pengasingan kuasa ini di Malaysia?

Kalau diteliti, terdapat sekurang-kurangnya dua negara.

Negara pertama ialah Hong Kong yang mana di bawah seksyen 388(1) Ordinan Sekuriti dan Niaga Hadapan (Securities and Futures Ordinance), kuasa pendakwaan diberikan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan (Securities and Futures Commission – SFC) bagi kesalahan-kesalahan yang boleh dibicarakan secara terus (summary trial) di Mahkamah Majistret.

Walaupun wujud Jabatan Keadilan Hong Kong (Department of Justice – DOJ) yang secara umumnya bekerjasama dengan badan siasatan seperti SFC, khususnya dalam memberi nasihat undang-undang dalam kes-kes yang kompleks atau melibatkan isu undang-undang yang penting atau berkepentingan awam, pendakwaan di mahkamah-mahkamah rendah seperti Mahkamah Majistret dibuat oleh pegawai pendakwa SFC sendiri tanpa melibatkan DOJ.

Ini berlaku meskipun Perkara 63 Undang-Undang Asas (Basic Law) Hong Kong memperuntukkan bahawa DOJ mempunyai kuasa ke atas pendakwaan jenayah, bebas dari sebarang gangguan. DOJ diketuai oleh seorang Setiausaha Keadilan (Secretary for Justice). Sebelum tahun 1997 (penyerahan Hong Kong kepada China) jolokan bagi jawatan ini adalah Peguam Negara.

Pun begitu, kuasa pendakwaan yang ada pada pegawai pendakwa SFC tidak menjejaskan kuasa pendakwaan DOJ yang dijamin di bawah Perkara 63 Undang-Undang Asas.

Negara kedua pula ialah Britain, yang mana wujud satu badan yang berwenang (mempunyai hak) untuk menyiasat dan mendakwa kesalahan-kesalahan penipuan (fraud) dan rasuah (bribery and corruption) yang serius. Ditubuhkan dan diberikan kuasa di bawah Akta Keadilan Jenayah 1987 (Criminal Justice Act 1987 – CJA), badan ini diberi nama “Serious Fraud Office” (SFO) dan memulakan operasinya pada bulan Julai tahun 1988.

Menurut laman sesawang rasminya, SFO adalah sebuah badan pendakwaan berwenang khusus untuk mengendalikan siasatan dan pendakwaan kes-kes penipuan dan rasuah yang serius dan berat. Ini menjadikan SFO sebuah badan yang unik di Britain kerana ia mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mendakwa  kes-kesnya sendiri. https://www.sfo.gov.uk/about-us/

Sebagai sebuah badan statutori, iaitu badan yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen, SFO melaksanakan fungsi dan kuasanya bagi pihak kerajaan (Crown). Bahkan ia adalah sebuah jabatan kerajaan tanpa menteri (non-ministerial department – NMD) yang diketuai oleh seorang Pengarah. Ia juga merupakan salah satu pejabat pegawai undang-undang (Law Officers Department) di bawah seliaan Pejabat Peguam Negara (Attorney General Office – AGO).

Oleh kerana SFO diberi kuasa mendakwa di bawah CJA, satu protokol dibuat antara AGO dan SFO yang menjelaskan bagaimana kedua-dua pihak berwenang itu harus melaksanakan fungsi dan tugas statutori masing-masing tanpa berlaku pertindihan. Protokol ini kemudiannya digantikan dengan satu perjanjian bertulis tahun 2019.

Pendek kata, memang sudah ada pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dimungkinkan oleh undang-undang itu sendiri.

SFO di Britain adalah contoh utama di mana kuasa mendakwa boleh diletakkan pada satu jabatan atau agensi selain dari Jabatan Peguam Negara. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), misalnya, boleh diberi kuasa pendakwaan seperti SFO.

SFO sememangnya badan yang ampuh untuk ditinjau, dikaji dan dipelajari agar dapat direalisasikan di Malaysia, sama ada dengan pindaan Perlembagaan atau tidak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudahpun menegaskan bahawa dasar dan komitmen kerajaan sekarang dalam memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus pentadbiran kerajaan adalah jelas serta berterusan.

Justeru, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya harus disegerakan, seperti gesa Azalina dan TI-M.

Hafiz Hassan
Pembaca Malaysia Gazette