Zuraida Kamaruddin (tengah) menerima sumbangan 500,000 helai pelitup muka daripada KK Chua dan Izzue Islam (kiri).

KUALA LUMPUR – Dua syarikat kesihatan menjalinkan kerjasama untuk menjayakan program tanggungjawab sosial (CSR) bagi mengagihkan sumbangan 500,000 pelitup muka kepada golongan memerlukan.

Pelitup muka itu disumbangkan oleh Maystar Beauty Sdn. Bhd. iaitu pemilik jenama Neutrovis dan Anggun Kirana Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik jenama Himaya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ia membabitkan 10,000 kotak pelitup muka perubatan yang diluluskan oleh Medical Advice Authority (MDA) bernilai RM350,000 untuk membantu golongan kurang mampu, komuniti B40, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan petugas barisan hadapan.

“Usaha CSR kami adalah untuk mengurangkan beban rakyat dan petugas barisan depan pada masa pandemik ini.

“Neutrovis dan Himaya telah berkolaborasi untuk menyumbangkan pelitup muka perubatan yang diluluskan oleh MDA di beberapa organisasi amal dan sektor kerajaan untuk lebih membantu usaha membanteras kes Covid-19.

“Inisiatif oleh Neutrovis dan Himaya ini dilancarkan dalam semangat perayaan Tahun Baru Cina,” kata pemilik pemilik jenama Himaya, Datul KK Chua.

Sumbangan itu diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin semalam yang turut dihadiri duta jenama Neutrovis, Izzue Islam.

Chua menambah, objektif Neutrovis dan Himaya bertujuan untuk membantu kerajaan membanteras penularan wabak Covid-19 dengan meringankan beban golongan kurang berkemampuan sambil memainkan peranan sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab secara sosial.

“Dengan semangat Tahun Baru Cina, kami ingin menyampaikan mesej positif dan berkongsi kesejahteraan kami dengan mereka yang memerlukan; kita akan melalui wabak ini bersama-sama.

“Mari kita semua mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. dan mengelakkan kita tidak peduli untuk kesejahteraan bersama negara kita,” tambahnya.

Sementera itu, Zuraida meluahkan kesyukuran atas inisiatif Neutrovis dan Himaya.

“Terima kasih kepada Anggun Kirana dan Maystar Beauty kerana telah menyumbangkan pelitup muka perubatan kepada golongan rakyat yang memerlukannya.

“Pelitup muka perubatan yang disumbangkan adalah istimewa kerana telah diluluskan oleh MDA.

“Saya harap sumbangan ini dapat membantu penduduk PPR dan golongan B40 ”, katanya.

Dalam pada itu, Izzue memberitahu, dia telah menggunakan akaun-akaun media sosial beliau untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan rakyat sejak penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette