Polis sedang menyoak siasat wanita-wanita yang ditahan di premis urut. foto FB DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menutup 18 premis termasuk tiga hotel dan 15 pusat urut sepanjang tempoh dua bulan tahun ini.

Tindakan itu melibatkan tiga Notis Pemberitahu Kesalahan Akta Hotel dan 15 notis kompaun kesalahan serta sitaan terhadap 287 pelbagai jenis barangan dalam premis, kata Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, DBKL dan polis telah menyerbu premis urut di Jalan Langkawi, Setapak dan Jalan Kuchai Maju, Seputeh, Kuala Lumpur malam tadi.

Serbuan itu dilakukan susulan aduan orang awam.

Hasil serbuan yang dijalankan didua lokasi tersebut mendapati tiga premis tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut.

Dua kakitangan penguatkyasa DBKL sedang menyita sebuah premis urut.

Tindakan penguatkuasaan dibuat dengan mengeluarkan tiga notis kompaun di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan kesemua premis tersebut telah ditutup serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

DBKL juga bertindak meroboh 19 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan, selain menyita 77 pelbagai peralatan premis termasuk tilam, tuala, monitor, perakam kamera liter tertutup, kamera litar tertutup, kondom, minyak pelincir, ampilfier dan lain-lain peralatan.

Hasil pemeriksaan di semua premis berkenaan, seramai 11 orang wanita tukung urut yang disyaki pekerja seks warganegara Filipina, Thailand, Indonesia dan lima orang warga tempatan sebagai penjaga premis telah ditahan.

Tindakan penguatkuasaan ini dilakukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan mengikut bidang kuasa serta S.O.P DBKL dan pihak PDRM, katanya. – MalaysiaGazette