Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – MIDF Research menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini kepada 5.4 peratus.

“Kami menjangkakan ekonomi berkembang pada tahun ini, membalikkan kejatuhan yang berlaku pada tahun lalu,” kata firma penyelidikan itu.

Menurutnya, unjuran itu juga sejajar dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi di peringkat domestik dan global.

Bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku pertama tahun ini dijangka terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan sekatan yang dikenakan semula di negara-negara utama susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19.

MIDF Research berkata, peningkatan kes jangkitan ini telah mengehadkan mobiliti dan mendorong permintaan yang perlahan.

Sebagai tambahan, firma penyelidikan ini juga meramalkan anjakan kebelakang buat sementara untuk pemulihan pasaran tenaga kerja kerana beberapa perniagaan  terpaksa mengambil masa untuk mengambil pekerja semula disebabkan aktiviti perniagaan yang terhad sepanjang tempoh PKP 2.0 yang akan mempengaruhi prospek pendapatan.

”Dengan mempertimbangkan sekatan pada suku pertama 2021 khususnya, kami menyemak semula ramalan pertumbuhan KDNK tahun penuh kami kepada 5.4% tahun ke tahun daripada 7%, menunjukkan ekonomi mencapai normalisasi yang lebih beransur-ansur,” katanya.

Mengulas prestasi KDNK yang menyusut 5.6 peratus pada tahun lalu, MIDF Research berkata, ekonomi Malaysia menghadapi kesan buruk akibat pandemik Covid-19.

Prestasi itu menghampiri unjuran awalnya -5.5 peratus.

Katanya, prestasi itu adalah lebih buruk berbanding dengan data yang direkodkan semasa Krisis Kewangan Dunia pada 2009 iaitu penguncupan-1.5 peratus.

Namun, ia lebih baik berbanding -7.4 yang direkodkan ketika negara berdepan Krisis Kewangan Asia 1998. – MalaysiaGazette