Seramai 759 individu ditahan polis semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 759 individu ditahan polis semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 715 individu telah dikompaun dan 44 individu direman.

Daripada jumlah itu, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (203), tiada penjarakan fizikal (167), tidak memakai pelitup muka (117), keluar rumah tanpa alasan munasabah (84), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (57), membawa penumpang berlebihan (22), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (12), aktiviti pusat hiburan (8) dan lain-lain kes (89),” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 64,379 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dijalankan.

Pemantauan itu melibatkan seramai 3,009 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,910 anggota telah membuat pemantauan di 6,108 buah restoran, pasar raya (4,008), bank (3,814), penjaja (2,706), kilang (1,649) dan pejabat kerajaan (752).

“Turut dipantau ialah 1,087 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (266) dan terminal pengangkutan udara (71),” jelas beliau.

Ismail Sabri berkata, seramai 36 orang pendatang tanpa izin (PATI) telah ditahan dan pihak berkuasa telah merampas empat buah kenderaan darat serta sebuah bot dalam Op Benteng.

“Op BENTENG melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 531 Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya lagi.

Dalam pada itu, seramai 623 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Sejak 24 Julai 2020, seramai 120,500 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 73 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 5,690 individu telah dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 114,259 orang dibenarkan pulang manakala 551 lagi dibawa ke hospital. – MalaysiaGazette