KUALA LUMPUR – Berulang kali dan pelbagai gesaan dibuat oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berhubung kematian anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Kassim.
Namun, laporan siasatan peringkat akhir yang dimaklumkan pada Disember tahun lalu oleh Menteri Dalam Negeri juga masih sepi tanpa khabar sehingga keluarga Allahyarham kelu seribu bahasa tidak tahu di mana penghujung dan kebenaran berkaitan kematian anaknya.
Justeru, Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menggesa Peguam Negara segera mempamerkan bukti demi menjaga integriti sistem kehakiman negara.
Katanya, Wira Putra bersetuju dengan pandangan Pengerusi EDICT, M. Visnanathan bahawa Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera sama ada kembali ke mahkamah dengan memfailkan semakan terhadap dapatan koroner Rofiah Mohamad pada 2019 atau buka semula inkues berdasarkan laporan siasatan polis yang terkini.
Ini kerana, tegasnya, kematian Allahyarham Muhammad Adib Kassim ketika menjalankan tugas rasminya dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman, Seafield pada November 2018 tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
“Kebenaran perlu ditegakkan kerajaan dan keadilan perlu diberi kepada keluarga mangsa, bukan dibiar tergantung begitu sahaja.
“Peguam Negara perlu segera mengambil tindakan mendapatkan keadilan bagi pihak keluarga mangsa.
“Kaedah sudah ada, terpulang pada Peguam Negara untuk pilih menggunakan solusi yang mana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia bukan negara mengamal mahkamah rimba, ada keputusan dan laporan siasatan, tetapi tiada tindakan. – MalaysiaGazette
















