KOTA BHARU – Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Parlimen Ketereh, Kelantan menyahut seruan kerajaan untuk menyertai program Agen Basmi Covid-19 (ABC-19).
Komander Pasukan CDERT Parlimen Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, menerusi program ABC-19 yang dilancarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) minggu lalu, pihaknya telah menggerakkan rondaan sukarelawan ke seluruh kawasan Parlimen mulai hari ini.

Katanya, melalui program itu juga, pasukan keselamatan akan bekerjasama dengan komuniti tempatan dan NGO dalam melakukan rondaan bagi memantau pematuhan peraturan pencegahan Covid-19 serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara terus ketika masuk ke kampung dan kawasan tumpuan awam.
“CDERT Ketereh yang merupakan sebuah pasukan Sukarelawan Pertahanan Awam bekerjasama dengan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Bharu serta masyarakat setempat.
“Kami melakukan rondaan pencegahan (omnipresence) dengan menggerakkan dua pasukan dianggotai anggota di kalangan sukarelawan APM, CDERT dan komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, satu pasukan akan melakukan rondaan merangkumi kawasan Ketereh, Kadok dan Kok Lanas, manakala satu pasukan lagi ditugaskan ke kawasan Melor dan Peringat.

Menurutnya, melalui ABC-19 juga, pemantauan dijangka berkisar ke kawasan tumpuan awam seperti restoran, bank, klinik dan pasar, selain tempat tumpuan dalam kawasan perkampungan yang sering terlepas pandang oleh pihak berkuasa.
“Dalam hal ini, komuniti tempatan memainkan peranan penting membantu pihak berkuasa masuk ke kawasan kampung dan memastikan tiada lagi tempat ‘rahsia’ yang menjadi tumpuan penduduk yang sering melanggar peraturan,” katanya.
Sebelum itu, Nik Saiful turut memberi taklimat penugasan serta pemakaian ‘arm band’ ABC-19 kepada anggota di pekarangan Pasar Melor.
Beliau berharap Pasukan CDERT Ketereh dan Sukarelawan APM akan terus bekerjasama dengan komuniti tempatan dalam melaksanakan hasrat kerajaan membasmi wabak covid 19 ini terutamanya dalam aspek pematuhan SOP.
Taklimat penugasan turut dihadiri Ketua Pasukan Perubatan CDERT, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Dr. Nurul Ain Razali; Ketua Kompeni DUN Kadok, Mejar Bersekutu (PA), Muhd Nor Aswadi Md Nor; Pemangku Ketua Kompeni DUN Melor, Wan Muhammad Faisal Wan Zin serta pegawai kanan pasukan, Kapten Bersekutu (PA), Mohd Adli Ali; Leftenan Muda (PA), Azman Mohamed Nor; dan Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Leftenan (PA), Mohd Safiyan Ibrahim. – MalaysiaGazette
















