Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kejadian seorang remaja perempuan dirogol tahanan di lokap Balai Polis Miri pada Januari lalu tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sudah digantung tugas serta merta, tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih gagal memberi perkembangan terkini kepada masyarakat.

“Saya terpanggil untuk mengulas mengenai kejadian yang berlaku ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang dirogol oleh tahanan lain sewaktu ditahan di sebuah lokap polis di Miri, Sarawak pada Januari lalu.

“Bagi saya, kejadian hitam itu tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja. Dalam isu ini, polis dan KDN perlu memberi perkembangan terkini apakah lokap Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“CCTV ini penting kerana boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan ini bukanlah kejadian pertama yang tidak diingini berlaku di lokap,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam kejadian itu, remaja perempuan terbabit mendakwa ditahan sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri pada 8 Januari kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian haram.

Dia kemudiannya ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan di dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Dakwanya lagi, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci dan antara jam 4 hingga 5 pagi, seorang tahanan lelaki membuka pintu sel dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.

Menurut Zuraida, sampai bilakah CCTV yang hanya boleh digunakan untuk memantau sahaja akan digunakan di lokap itu dan di lokap lain.

Beliau berpandangan, tranformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.

Katanya, peristiwa itu baginya adalah kejadian luar biasa, kerana ia berlaku di sebuah balai polis, yang menurutnya sebuah premis dibangunkan untuk tujuan menjunjung dan menegakkan undang-undang negara sepertimana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis.

“Saya cadangkan kerajaan menerusi peruntukan yang ada, meningkatkan lagi hukuman dan seksaan bagi pesalah seperti ini, yang bukan sahaja melakukan kesalahan merogol, tetapi turut mencemarkan institusi polis, sekali gus berperanan sebagai langkah pencegahan supaya masyarakat tidak melakukannya lagi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette