Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Masih ada individu yang cuba merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, helah mereka bagaimanapun dapat dihidu pihak berkuasa yang menjalankan tugas di sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara dengan meletakkan mereka di bawah kesalahan ingkar SOP.

Katanya, mengikut rekod kesalahan itu, seramai 177 dikenakan tindakan, menjadikan keseluruhan yang ditahan semalam seramai 877 individu, termasuk yang melakukan beberapa kesalahan lain.

“Daripada 877 individu yang ditahan atas kesalahan ingkar SOP, 806 telah dikenakan kompaun, manakala 71 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah 253 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 177 rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran, 101 ditahan ketika beraktiviti di pusat hiburan, 98 individu tidak memakai pelitup muka, 82 kes gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 166 lagi lain-lain kesalahan berkaitan pelanggaran SOP,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, menerusi Operasi Benteng di sempadan negara, pihak berkuasa menangkap 45 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan lima tekong serta merampas lapan kenderaan darat.

Dalam operasi itu, kata beliau, pihak berkuasa turut mengesan 102 bot atau kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

Mengenai kuarantin wajib, beliau menyatakan, seramai 494 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam, dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

“Sejak 24 Julai lalu, seramai 120,928 individu telah pulang ke tanah air dan semua mereka ditempatkan di 72 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Seramai 5,719 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 114,643 orang dibenarkan pulang, manakala 566 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette