Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) pada awal pagi tadi setelah keretanya melanggar batu pembahagi jalan dan tidak dapat bergerak.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 12.45 pagi itu sepasukan polis yang menjalankan tugas di SJR di Jalan Besar Desa Aman Puri, Desa Jaya telah menahan kereta Proton Wira yang dinaiki oleh seorang lelaki Cina dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota polis bertugas telah mengarahkan lelaki tersebut menghentikan kenderaan di bahu jalan bagi tujuan
pemeriksaan namun apabila dihampiri suspek melarikan diri dengan memecut keretanya.

Tambah beliau, polis telah mengejar kenderaan tersebut sehingga ke kawasan Perumahan Perdana Puri yang jaraknya kira-kira 300 meter dari lokasi SJR tersebut.

“Kenderaan itu kemudian berpatah balik dan memecut laju ke arah khemah SJR dan hampir merempuh seorang anggota polis yang bertugas.

“Suspek kemudian telah berhentikan kenderaannya dalam keadaan mengejut dan cuba mengundurkan kenderaannya dalam
keadaan laju dan telah menyebabkan kenderaan suspek melanggar batu pembahagi jalan berhampiran dengan khemah SJR tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran tersebut kenderaan suspek tidak boleh lagi bergerak dan akhirnya suspek ditangkap, ujarnya .

Menurut Arifai, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dengan dadah dan satu rekod jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Keputusan ujian saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif Methamphetamine, ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

Tambahnya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan direman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.

Arifai berkata, motif kejadian dipercayai suspek melarikan diri dari SJR kerana menagih dadah dan tidak mempunyai kebenaran rentas daerah atau rentas negeri.

Katanya, tindakan lari dari SJR adalah satu kesalahan yang serius, malah jika ada elemen cuba merempuh petugas yang membahayakan nyawa mereka implikasinya adalah lebih berat kerana ia boleh disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh. – MalaysiaGazette