Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sedia memberi kerjasama penuh kepada polis atas dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Bagaimanapun sehingga hari ini polis masih belum mengambil keterangannya.

“Saya tunggu masa, saya akan beri kerjasama. Itu (siasat) harus berjalan, jangan ada dua darjat, jika ada aduan, perkara yang perlu siasat elok siasat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lorong Haji Taib petang tadi.

Mengulas lanjut, Annuar berpendirian bahawa penguatkuasaan pematuhan SOP wajar dilaksanakan kepada semua lapisan masyarakat termasuklah orang kenamaan, termasuklah menteri sepertinya.

Tambahnya, siasatan perlu dilakukan agar situasi sebenar pada 13 Februari yang lalu dapat diketahui.

“Saya mengalu-alukan, tidak ada tanggapan kalau menteri SOPnya lain, penyakit tidak kenal menteri, tidak kenal siapa.

“Memang saya kata kita kena patuh SOP sedaya yang mungkin dan sepanjang masa tapi itulah kadang-kadang keluar satu gambar macam baru-baru ini, kata saya makan dalam majlis, orang tidak tahu itu dalam ladang,” tambahnya.

Annuar didakwa melanggar SOP ketika menghadiri satu program baru-baru ini apabila dilihat bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan untuk makan.

Polis memaklumkan akan memanggil Annuar untuk mendapatkan keterangannya selepas ada laporan dibuat di Balai Polis Cheras.

Annuar menjelaskan ketika program berlangsung, beliau telah menegur pihak penganjur terlebih awal kerana melihat pelanggaran SOP penjarakan sosial.

Selepas beberapa minit duduk di meja makan yang disediakan, Annuar kemudian berpindah ke kawasan yang lebih luas penjarakannya.

“Penganjur nak tunjuk sayur dan ulaman dari ladang, jadi buatlah hidangan (kepada saya). Bila saya pergi, saya tengok penjarakan tidak betul, saya tegur, tapi tidak boleh nak marah.

“Saya cuma tegur kemudian beredar selepas duduk sebentar, itu yang sebenar tapi persepsi di luar macam-macam.

“Jadi, eloklah polis siasat dapatkan maklumat apa yang sebenarnya berlaku,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette