Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Penelitian beberapa pakar perubatan dunia menjangkakan pandemik global yang dihadapi ketika ini dijangka berterusan sehingga tahun 2024.

Ini kerana, walapun vaksinasi telah bermula tetapi vaccine nationalism oleh sesetengah negara maju menyebabkan negara membangun dan kurang membangun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehingga ini, sebanyak 130 negara belum menerima vaksin malah tidak berkemampuan untuk membelinya.

Senario itu akan menyebabkan pandemik berkenaan akan terus menjadi ancaman keselamatan global sehingga semua warga dunia mendapat imunisasi dan membangun ‘imunisasi kelompok’.

“Malaysia mesti mengambil pendekatan kesiapsiagaan terhadap senario ini. Sektor perkhidmatan kesihatan kita mesti diperkasakan dengan berganda dan tanpa berlengah.

“Perjawatan baru mesti segera diwujudkan. Permohonan perjawatan tambahan yang dikemukakan pada Oktober lalu diharap telah diluluskan dan diisi.

“Petugas kesihatan kontrak dan sambilan yang waktu ini sedang berkhidmat wajar ditawarkan jawatan tetap dengan kadar segera,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Mohamad berkata, mereka telah berkhidmat di waktu yang sukar dan pengalaman sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam negara.

Petugas itu, katanya, telah melaksanakan tugas patriotik mereka kepada negara dengan keringat dan pengorbanan tertinggi, walaupun tanpa jaminan pekerjaan tetap.

Justeru, menyerapkan mereka ke perjawatan tetap adalah sangat bertepatan dengan kompetensi, jasa dan sumbangan mereka.

“Sukarelawan seperti pesara dan pelbagai segmen masyarakat yang lain pula mesti terus dilatih dan berada dalam ‘data base’ KKM agar mereka boleh dimobilisasikan segera dalam keadaan yang genting dan kritikal.

“Sistem kesihatan kita telah berfungsi dengan baik di sebalik segala tekanan luar jangkaan kerana merebaknya wabak korona ini.

“Semua ini kerana dedikasi dan kerja keras semua petugas kesihatan, samada tetap, kontrak dan sukarelawan. Sumbangan mereka sangat luar biasa.

“Tugas seterusnya ialah memperkuatkan sistem kita dengan menambah dan mengisi segala keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai KKM, latihan berterusan bagi membangun kompetensi petugas kesihatan dan menyediakan kemudahan kesihatan komprehensif yang lebih banyak,” katanya.

Kata beliau, kerajaan mesti menyegerakan semua itu demi Malaysia yang lebih siapsiaga, selamat dan sejahtera. – MalaysiaGazette