KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon penangguhan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) 2.0.

Kesatuan Sekerja Semalaysia (MTUC) berkata, pendirian dan NUTP dalam pelaksanan PdPR adalah wajar kerana mereka adalah golongan yang terlibat secara langsung dalam program PdPR.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, NUTP terpaksa berdepan dengan masalah sama ada daripada murid, ibu bapa, guru dan Kementerian Pendidikan semasa melaksanakan PdPR 1.0.

Lagi pun kajian mereka berdasarkan kepada realiti pengajaran dan pembelajaran rakyat Malaysia semasa tempoh Covid-19 termasuk megambilkira pandangan pihak yang terlibat termasuk ibu bapa dan guru.

“MTUC menzahirkan penghargaan kepada semua guru dan seluruh Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran dalam situasi negara menghadapi covid 19 maka usaha mereka tidak perlu di pertikaikan dalam mendidik anak bangsa Malaysia.

“Berita Ustaz Ebit Lew menerima 40,000 permohonan daripada seluruh Malaysia untuk bantuan peranti tab adalah satu petunjuk kepada Kementerian Pendidikan bahawa PdPR itu perlu dikemaskini segera tanpa melengahkan masa.

“Ini menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang tidak boleh menyediakan peranti ini untuk PdPR dan golongan Ibu bapa B40 tidak mungkin untuk menyediakan peranti kerana keutamaan mereka adalah untuk menyediakan makanan kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kamarul Baharin, kemudahan jalur lebar juga adalah satu masalah yang perlu dipertimbangkan kerajaan secara serius.

Justeru katanya, kemudahan itu tidak boleh diselesaikan oleh seseorang individu seperti Ustaz Ebbit Lew kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

Malah jelas beliau, penyediaan jalur lebar yang baik adalah tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan PdPR dilaksanakan secara efektif.

“Mengikut rekod PERKESO, pemberhentian kerja adalah sangat tinggi semasa PKP dilaksanakan dan ini juga boleh dijadikan petunjuk kepada Kementerian Pendidikan keupayaan sesebuah keluarga dalam menghadapi PdPR 2.0.

“MTUC mendesak supaya Kerajaan dan Kementerian Pendidikan mengambil kira isu golongan B40 dan keluarga luar bandar yang menghadapi masalah PdPR 1.0 yang mana penyelesaian secara tuntas perlu di buat sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan,” ujarnya.

Kamarul memberitahu, pendidikan adalah satu cara untuk mengubah masa depan golongan B40 dan setiap murid mempunyai hak mendapatkan akses pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi masa depan mereka.

Katanya, MTUC berharap penilaian dan pelaksanaan sistem pendidikan mengambil kira semua golongan rakyat Malaysia.

“Jika PdPR 1.0 mempunyai masalah kepada golongan rentan maka MTUC mendesak kerajaan untuk memperbaiki PdPR 1.0 dan sehingga kini Kementerian Pendidikan tidak memberikan data atau analisa kepada masalah PdPR 1.0.

“Penambahan masa PdPR hanya menguntungkan sebahagian murid tetapi bagi yang mempunyai masalah PdPR akan menyebabkan jurang Pendidikan semakin besar dan perkara ini tidak seharusnya terjadi dalam usaha kerajaan menuju “kemakmuran bersama”,” tegas Kamarul lagi.-MalaysiaGazette