Pas Pulau Pinang dan Dewan Himpunan Penyokong Pas tampil membuat laporan berhubung isu sugar baby di IPD Timur Laut di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Islam SeMalaysia (Pas) Pulau Pinang meminta polis menyiasat dan menyekat aktiviti persundalan yang dipromosikan menerusi aplikasi Sugarbook.

Yang Dipertua Pas Tanjong, Yacoob Omar berkata, penggunaan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai sugar baby itu akan menyebabkan golongan muda terjebak dalam kegiatan tidak bermoral sekali gus merosakkan nama negara.

“Saya berpandangan bahawa pemilik laman web dan aplikasi Sugarbook wajar disiasat dan diharamkan kerana ia menyediakan ruang kepada rakyat Malaysia untuk terlibat dalam kegiatan persundalan berbayar yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara.

“Kita buat laporan agar membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap mereka yang telibat secara langsung atau tidak dengan Sugarbook,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung isu sugar baby di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Selain itu, beberapa wakil Dewan Himpunan Pendukung (DHP) Pas Negeri turut tampil membuat laporan berkaitan isu sama.

Sementara itu, penasihat undang-un dang Syariah, Datuk E. Selvarajoo yang mewakili DHP Pas Pulau Pinang menegaskan pemilik Sugarbook mesti dihukum mengikut Akta Multimedia Komunikasi serta Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan.

“Tindakan terhadap mereka mesti diambil mengikut undang-undang sedia ada dan hukuman berat harus dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak lain.

“Kita tidak mahu kejadian yang sama berulang lagi kerana ia merosakkan masa depan anak muda dalam negara ini,” ujar Selvarajoo.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai sugar baby.

Susulan itu, semalam, Polis Diraja Malaysia mengesahkan menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari sugar daddy.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai sugar baby. – MalaysiaGazette