Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil tindakan serius terhadap isu laman web Sugarbook yang mendedahkan penglibatan pelajar pengajian tinggi sebagai Sugar Baby.

Kementerian itu perlu mengenakan sekatan penuh ke atas laman web terbabit yang berunsurkan seks pelacuran dari diakses oleh rakyat negara ini.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah berkata, sekatan itu perlu disegerakan kerana dibimbangi menjadikan ia ‘pengiklanan jahat’ bagi laman web Sugarbook untuk terus mendapat perhatian ramai yang akhirnya mempengaruhi masyarakat.

Kata beliau, ini dinamakan sebagai guerilla marketing di mana laman web tersebut mendapat promosi percuma apabila banyak pihak memperkatakan mengenainya di media sosial.

“Akhirnya yang tidak tahu menjadi tahu dan yang sudah mengetahui tertanya-tanya serta ingin mencuba.

“Kewajaran untuk terus menyekat laman web ini dari diakses adalah sebagai langkah pencegahan dan dalam masa sama, tindakan lanjut perlu diambil iaitu siasatan ke atas dalang pemilik laman web tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Nor berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga wajar mengambil tindakan pantas dengan kerjasama Intitusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) yang disenaraikan itu untuk menyelidik rekod angka pendedahan tersebut.

Beliau berkata, sama ada benar atau tidak, ia mesti diambil langkah bagi membersihkan imej IPT sebagai tempat pengajian yang dikenali menara gading, bukan gudang maksiat yang boleh menjatuhkan nilai kredebiliti institusi itu.

Selain itu, kebimbangan yang patut difikirkan pada jangka masa panjang ialah perlunya silibus pengisian syaksiah dan jati diri diberikan penerapan serius dalam diri pelajar bermula dari institusi pendidikan rendah sehingga ke peringkat institusi tinggi.

Menurutnya, laman web Sugarbook mungkin salah satu dari isu yang hangat diperkatakan, namun dalam masa sama, statistik mendedahkan pengguna internet melayari laman web lucah juga perlu dibendung bersama.

“Apa sahaja medium membawa kerosakan dengan maksiat sosial adalah menjuruskan manusia ke lembah penzinaan. Perkara ini amat dibimbangi kerana amaran Rasulullah SAW berkenaan ujian akhir zaman apabila penzinaan berleluasa begitu sahaja.

“Kita juga menyeru semua individu yang mendaftar akaun sama ada secara serius terlibat dengan aktiviti yang bercanggah itu atau secara suka-suka untuk nyahaktif dan terus menutupnya, manakala yang telah terlanjur, belum terlambat untuk kembali memulihkan diri ke arah kebaikan,” katanya.

Kata beliau, tindakan tegas perlu diambil kepada pemilik laman web dan dalang yang menjalankan urusniaga haram itu bagi membendung secara serius. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lambat sangat bertindak, sudah terhantuk baru hendak tergadah. Sepatutnya mana-mana yang bawa unsur negetif, sepatutnya dari awal lagi sudah diharamkan, bukan dibenarkan iklan merata-rata.

Comments are closed.