Jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera dibawa ke Surau Madrasah As Syakirin untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Padang Bekoh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2021.

KEBELAKANGAN ini terdapat peningkatan kes penderaan kanak-kanak, wanita dan gangguan seksual. Dengan peningkatan tekanan hidup akibat pelbagai faktor disebabkan pandemik, sudah tentu akan ada peningkatan kes sosial didalam masyarakat. Semakin tular di media sosial masalah-masalah penderaan kanak-kanak, wanita dan sekarang tular isu gangguan seksual wanita.

Jika kita perhatikan laman sesawang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tiada pautan atau ‘link‘ yang ditekankan di laman utama bagi memudahkan pengunjung laman sesawang mereka. Tiada juga pautan yang memberi informasi mengenai bantuan sokongan mental yang diberikan KPWKM. Penting pada waktu ini kesemua pautan ini di “highlight” pada laman utama bagi memudahkan pelawat mencari maklumat dan bahan sokongan. Penyebaran infografik maklumat bantuan dan tips-tips sokongan mental juga penting pada masa ini.

Aduan kes-kes dera, gangguan seksual, tekanan perasaan dan bantuan adalah pada satu talian yang sama iaitu talian Kasih. Pada September yang lepas jumlah aduan meningkat dari 6,770 kepada 12,240. Bayangkan jumlah talian yang diterima setiap hari adalah secara purata 408 panggilan sehari. Bukankah patut kita asingkan talian ini mengikut jenis aduan agar pemanggil lain dapat menghubungi talian bantuan tanpa sebarang masalah? Statistik terkini 2021 juga belum dikeluarkan KPWKM.

Saya terbaca juga mengenai mobilisasi lebih banyak pegawai pelindung dan pegawai akhlak dari KPWKM. Akan tetapi tiada laporan yang dikongsi KPWKM mengenai jumlah laporan yang diterima pegawai atau kes-kes yang dikongsi. Saya percaya semua kakitangan yang bekerja di KPWKM telah melakukan kerja yang baik. Mungkin kurang pendedahan yang di kongsi kepada masyarakat. Mungkin KPWKM perlu berkongsi aktiviti kementerian dengan lebih aktif lagi di laman sesawang dan media sosial. Jangan berkongsi aktiviti menteri sahaja tetapi kongsilah aktiviti petugas-petugas Kementerian yang bekerja keras demi rakyat.

Selain itu pentingnya KPWKM mengeluarkan laporan-laporan bantuan yang telah diberikan kepada rakyat, apa yang telah dilakukan oleh KPKWM dan agensi-agensi dibawahnya. Saya lihat “lack of disclosure” dari KPWKM yang mengakibatkan rakyat tertanya-tanya apa yang telah dilakukan Kementerian. Nasihat saya, “disclosed” lah hasil kerja keras anda kerana rakyat ingin tahu, rakyat perlukan maklumat dan rakyat perlukan banyak bantuan. Jangan sia-sia kan tenaga dan kerja keras anda di Kementerian, bagi rakyat lihat dan nilai.

KPWKM adalah satu Kementerian yang besar dan mempunyai tanggungjawab yang besar. Adalah penting bagi KPWKM memberikan penekanan utama ke atas isu-isu ini. KPWKM mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menangani isu-isu sosial yang kian meningkat dan juga meningkatkan usaha-usaha kesedaran dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan bagi mengurangkan tekanan hidup yang memberi impak kepada masalah sosial yang dihadapi sekarang. “Step up” dan bergeraklah lebih aktif bagi kesejahteraan rakyat dan negara kerana kestabilan institusi keluarga adalah penting bagi pembangunan negara.

 

Fatin Fariza
Naib Ketua Pemuda IKATAN