Paparan iklan SugarBook yang pernah tular di media sosial.

MUTAKHIR ini, tanah air kita digemparkan dengan isu anak muda dari institusi pengajian tinggi swasta dan awam yang terlibat secara langsung dengan isu sugarbaby-sugardaddy yang ibarat membuka pekung di dada. Aplikasi Sugarbook yang kemaruk dilanggan segelintir golongan belia Malaysia dikatakan setara dengan pelacuran kelas tinggi pada zaman virtual dan digital ini.

Pada ketika negara kita sedang diuji dan diasak dengan pelbagai ujian waktu ini, isu sebegini benar-benar membuat dada kita yang duduk di posisi pendidik sesak memikirkan ‘virus’ yang menjangkiti moral dan jiwa anak muda zaman ini. Ia benar-benar membimbangkan dan wajar membuat kita untuk benar-benar berefleksi untuk kembali melihat punca kerapuhan kepada pilihan yang dibuat oleh anak-anak belia kita.

Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan penjagaan maruah, bukan sahaja kepada kaum perempuan malahan juga ditujukan kepada kaum lelaki. Islam juga menggariskan panduan yang lengkap dalam menjaga aurat serta pergaulan sesama atau berlainan jantina. Antaranya sebagaimana yang termaktub dalam sabda Nabi Muhammad SAW dari hadith sahih Riwayat Tabrani; ”Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya”.

Kembali kepada isu tersebut, laman web Sugarbook dengan kemudahan aplikasinya dilaporkan menerima hampir 13-14 ribu pelanggan dalam kalangan anak muda yang berada di peringkat pengajian tinggi. Secara purata mereka berada dalam lingkungan usia 21-23 tahun dan terlibat dalam melanggan laman temujanji “Sugarbook”. Malahan, laporan terkini mencatatkan peningkatan sebanyak 40% berikutan lanjutan musim pandemik yang belum menampakkan tanda-tanda pengakhirannya. Alasan yang mereka katakan adalah disebabkan oleh mereka perlu membayar yuran pengajian walaupun dalam keadaan PKP.

Sebahagian daripada mereka memberi alasan kerana mereka tetap perlu membayar sewa rumah walaupun sesi pembelajaran atas talian dilakukan. Keadaan semasa pandemik juga menyebabkan mereka banyak masa di rumah dan merasa berasa sunyi dan bosan. Alasan ini juga menyebabkan mereka mengambil jalan pintas untuk melayari internet dan mendapatkan Sugardaddy yang bukan sahaja akan membiayai kehidupan mereka, malah menjadi sandaran kepada kelompongan jiwa yang sunyi dan gersang itu.

Isu Sugarbook pernah diviralkan pada tahun 2019 berikutan syarikat tersebut pernah menaikkan papan iklan berkenaan laman temujanji mewah tersebut di tengah ibu kota namun akhirnya diturunkan atas desakan beberapa ahli parlimen di atas aduan yang telah dilakukan oleh komuniti setempat. Darren Chan, seorang usahawan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif tapak laman ini menyatakan laman web tersebut telah bermula pada tahun 2017 lagi dan dalam temubualnya di salah sebuah platform media dengan rasa bangga menyatakan bahawa laman ini
telah tersohor di mata dunia sehinggakan ia pernah menerima pendaftaran seramai 45,000 sehari bahkan jika pendaftaran yang diterima adalah dengan paparan emel rasmi universiti, maka klien dalam kalangan pelajar tersebut berhak mendapat diskaun.

Persoalannya kini, di manakah tahap kekuatan moral anak muda kita yang tanpa segan silu terjebak ke kancah yang telah terang lagi bersuluh adalah dilarang oleh agama dan secara moralitinya melanggar nilai etika?. Adalah lebih mengejutkan apabila, belia tersebut bukan sahaja mempunyai seorang SugarDaddy malah ada yang mempunyai beberapa orang SugarDaddy yang lain akibat terpesona dengan habuan wang ringgit yang tinggi yang diperolehi dalam masa yang singkat. Apa yang sangat dibimbangkan dalam isu ini adalah akan terjadinya pelbagai penyakit kelamin yang boleh disebarkan semasa hubungan seks yang bebas ini.

Apabila berlakunya bertukar tukar pasangan, kadangkala pasangan terbabit ada yang telah dijangkiti kuman, seperti chlamydia, sifilis, dan gonorrhoea. Ia boleh dijangkiti semasa hubungan seks melalui faraj, dubur atau oral (mulut). Kes penyakit kelamin ini mengikut kajian statistik di Malaysia, kes penyakit kelamin bertambah dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi di kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 24 tahun.

Antara sebab perkara ini bertambah disebabkan oleh hubungan seks bebas, pendedahan awal kepada seks dan melakukan seks bebas pada umur yang muda. Maka berlaku juga pertambahan anak luar nikah akibat daripada hubungan seks yang terlarang ini. Apa yang menyedihkan adalah apabila anak hasil daripada hubungan terlarang telah digugurkan atau dibunuh dengan kejam bagi menyelamatkan maruah diri dari diketahui ramai. Alangkah buruknya akibat daripada mengikut hawa nafsu yang tidak berpandukan iman.

Dari alur pandang agama, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali menyatakan apabila seseorang manusia melayani kehendak nafsunya maka ia telah mengetepikan fungsi akalnya dan mewajarkan ia terlibat dalam kancah maksiat dan tidak beretika. Antara 10 nilai etika kepimpinan belia pemuda yang teradun dalam karyanya Nasihat Al-Muluk termasuklah elemen hikmah, adab dan adil serta budiman dan berhemah tinggi. Menjelaskan salah satunya, berhemah tinggi merujuk kepada self-respect atau hormat kendiri. Ia juga boleh diterjemahkan sebagai bermaruah dan berjiwa besar.

Manakala Al-Attas mengatakan bahawa adab merujuk kepada keupayaan memilih tindakan yang benar sehingga mampu berdisiplin dan mempunyai keteraturan di dalam pemikiran, tindakan dan interaksi di dalam kehidupan. Persoalan yang lain, apakah nilai didikan moral, etika dan agama yang ada pada ketika ini tidak begitu ampuh untuk
melahirkan anak-anak muda yang berhemah dan budiman dengan maruah dan harga diri yang tinggi?. Sekalipun elemen-elemen nilai tersebut ditujukan kepada kepimpinan belia namun, pemimpin dalam makna menyeluruh dan Islami tidak dapat lari dari tujuan pertama iaitu keupayaan memimpin diri. Begitu rapuhkah nilai etika dan moral anak-anak belia kita yang dikatakan terpelajar sehinggakan pilihan yang dibuat lebih kepada memenuhi keperluan tubuh dan jasad sehinggakan terabai setiap nilai sebagai manusia di dalam diri.

Seorang sarjana muslim dalam bidang tarbiyah, Abdullah Nasih ‘Alwan menekankan bahwa aspek tawhid sebagai elemen asas dalan tarbiyah jiwa bagi seseorang manusia. Pengenalan kepada Allah yang Esa dan kekuasaanNya adalah perkara pokok bagi segala isu. Bukti-bukti nyata melalui ciptaanNya yang meliputi seluruh yang berada di langit, bumi dan antara keduanya adalah sumber rasional (aqli) terbaik untuk ditafakkurkan bagi melunakkan jiwa
seseorang manusia.

Manakala, dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadith yang memperkenalkan kekuasaan Allah adalah sumber wahyu (naqli) yang paling benar untuk ditadabburkan bagi menundukkan segala kepatuhan dan ketaatan hanya kepada perinta serta kehendakNya. Setelah seseorang individu muslim itu menyerahkan segala kepatuhan hanya kepada Allah yang Esa, maka usaha untuk menjalani kehidupan di dunia ini dengan panduan wahyu itu akan dibantu dan
dibimbing oleh Allah agar kesejahteraan di alam yang kekal abadi bakal diperolehi.

Individu muslim yang tunduk kepada kekuasaan Allah SWT, akur dengan panduan cara hidup Islam akan
dapat merasakan pengawasan Allah SWT dalam setiap tindak tanduknya. Inilah yang dikatakan ihsan. Tuntasnya, inilah proses yang perlu dilalui oleh setiap daripada individu muslim dalam mencapai martabat Taqwa iaitu sebaik semulia-mulia martabat di sisi Allah SWT (Al-Quran. Surah al-Hujurat: 13). Seorang tokoh ulama reformis kontemporari daripada Turki iaitu Imam Badiuzzaman Said Nursi menegaskan bahawa iman tahqiqi iaitu keimanan yang terhasil daripada akal yang menerima dan hati yang yakin merupakan perisai bagi akhir zaman.

Kesukaran hidup waktu pandemik ini dikatakan merupakan salah satu faktor yang dilihat menyumbang kepada ‘gejala’ ini, namun apakah benteng perisai nilai harga dan maruah diri mampu runtuh begitu sahaja di kala badai ujian melanda? Sekali lagi, tulisan ini adalah merupakan nota refleksi untuk semua kita yang bergelar pendidik agar kita benar-benar turun mendidik ‘harta’ ummah ini untuk tumbuh menjadi jiwa cekal dan kental perisai rohani, peribadi dan emosinya.

Bertitik tolak daripada pendedahan isu ini, adalah penting bagi setiap pendidik sama ada yang berada di institusi pendidikan mahupun ibu bapa agar cakna dengan keadaan dalaman remaja dan perkembangan aktiviti semasa mereka. Selain itu, para pendakwah juga perlu ambil tahu serta turun kelapangan agar dapat menghayati keadaan sebenar remaja khususnya konteks isu sugarbaby-sugardaddy ini. Antara usaha sinergi yang boleh dijalankan ialah bergabung dalam mana-mana persatuan NGO yang memfokuskan kepada usaha membendung dan membanteras isu gejala sosial.

Gaya dakwah Nabi SAW perlu dipraktikkan oleh para pendidik dan pendakwah agar panduan serta pesan-pesan yang tinggalkan oleh Nabi Muhamad SAW yang berasaskan al-Quran dapat disampaikan dengan cara yang berhikmah kepada masyarakat Malaysia (Surah al-Nahl: 125).

Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM);

Dr. Noornajihan Jaafar
Profesor Madya
Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &

Dr. Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

1 Komen

  1. Pandai ke tu, bulat2 lonjong2 nak salah kn sume pihak.. satu tulisan yg paling mudah boleh buat thesis dpt phd. Dr bagai, mengupas isu bagai mengupas bawang. Cuba tengok kat tangan pakai jam apa, pakai gelang berat berapa gram, gaji dpt berapa sebulan , berapa belanja nak penuhkan peti ais seminggu. Membida orang buat macam2 mcmlah tugas hakiki tu dah buat sume tanpa dosa2. Paham sungguh ke apa yg diperlukn oleh golongan umur ni. Nak tanya murahnya maruah … apa nilai nya yg murahtu…

Comments are closed.