Ketua Penerangan MIC, R. Thinalan.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MIC, Thinalan Rajagopalu menafikan dakwaan beliau menuduh Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menyalurkan bantuan kepada Gombak District Churches Fellowship.

Malah beliau kesal dakwaan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan MB Selangor sendiri iaitu Rahim Ahmad Kasdi.

“Saya memang sungguh terkejut dengan kenyataan Rahim kononnya saya telah membuat tuduhan bahawa MB Selangor yang juga merupakan ADUN Kawasan Sungai Tua tidak pernah menyalurkan sebarang bantuan kepada Gombak District Churches Fellowship.

“Terima kasih saya ucapkan kepada MB Selangor dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua kerana telah menyalurkan bantuan kepada institusi gereja tersebut.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah saya memberi kenyataan bahawa MB Selangor menafikan bantuan kepada Gombak District Churches Fellowship malah saya lebih daripada bingung bagaimana seseorang berjawatan tinggi bercakap tanpa asas,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Sambung Thinalan lagi, beliau hanya bercakap tentang kegagalan MB Selangor bantu Pertubuhan Perkhidmatan Sosial dan Pembangunan Komuniti Daerah Gombak, Selangor (PSPK) dan bukan seperti yang didakwa.

“Apa yang saya utarakan melalui video rakaman program sanitasi di Gombak semalam adalah sebenarnya berkenaan kegagalan MB Selangor membantu PSPK sebuah NGO yang giat membantu golongan B40, warga tua dan ibu tunggal melalui program-program latihan dan bantuan.

“Tidak sekalipun saya menyentuh berkenaan insitusi gereja di Gombak seperti yang dinyatakan oleh pegawai MB.

“Bagaimana pegawai MB Selangor boleh mengaitkan PSPK dengan Gombak District Churches Fellowship?” soalnya lagi.

Menurut Thinalan, sebagai seseorang yang berjawatan penting seperti setiausaha politik kepada pemimpin nombor satu negeri, Rahim Ahmad sepatutnya menonjolkan sifat terbuka untuk menerima kritikan.

“Daripada terus melompat jadi jaguh seperti ini. Tolong usahakan bantuan lagi-lagi ketika Covid-19 ini, rakyat sedang susah, janganlah terlampau berpolitik sehingga membelakangkan keperluan mereka pula.

“Ibarat tepuk air di dulang terpercik muka sendiri, pegawai MB Selangor bagai telah mengakui kelemahan sistem pengagihan bantuan pejabatnya sendiri.

“Sepatutnya Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua dan pegawai MB yang patut memohon maaf di atas tuduhan liar yang dilemparkan, jika ada apa-apa tidak puas tengok sendiri video kenyataan saya,” tegasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.