Tiga kampung dalam daerah Pasir Mas di Kelantan diletakkan bawah PKPD Ahad ini.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Felda Triang 3, Bera Pahang bermula esok hingga 3 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut atas nasihat dan penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM hari ini mengesahkan sebanyak sembilan kes positif telah dilaporkan dan sehingga 16 Febuari lalu, seramai 79 kontak rapat telah dikenal pasti tinggal di lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan ini, berkuatkuasa esok hingga 3 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, pelaksanaan PKPD di lokaliti itu akan melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3, melibatkan 1,356 penduduk.

“KKM akan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette