Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lelaki mabuk merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gombak bagi melarikan diri daripada tindakan polis.

Ss

Pemandu itu akhirnya berjaya ditangkap polis.

Kejadian berlaku lebih kurang 10.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semasa kejadian itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sedang menjalankan tugas Op Bersepadu Cegah Jenayah dan Op Mabuk di Batu 15, Jalan Kuala Lumpur – Ipoh.

“Mereka telah menahan sebuah motokar jenis Toyota Wish berwarna putih yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.

“Seterusnya, anggota polis bertugas telah mengarahkan lelaki tersebut menghentikan kenderaannya di bahu jalan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Namun, apabila dihampiri, suspek tersebut terus memecut kenderaannya merempuh SJR dan hampir melanggar dua anggota polis bertugas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, anggota polis yang bertugas telah mengejar kenderaan itu sejauh lebih kurang satu kilometer sebelum berjaya menahan kenderaan suspek.

Ketika proses tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek enggan memberi kerjasama malah bertindak merakam video dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas anggota polis yang bertugas.

Menurutnya, ujian pernafasan ke atas suspek yang memandu kenderaan tersebut mendapati di bawah pengaruh alkohol.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kedua dua suspek berusia 32 dan 38 tahun itu telah ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut dan telefon bimbit yang digunakan suspek untuk merakam turut dirampas.

“Motif kejadian dipercayai suspek melarikan diri dari diperiksa di Sekatan Jalan Raya kerana di bawah pengaruh alkohol.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasalah patuh kepada undang-undang dan berilah kerjasama kepada mana-mana penjawat awam yang menjalankan tugas.

“Tindakan lari dari Sekatan Jalan Raya adalah satu kesalahan yang serius, malah jika ada elemen cuba merempuh petugas yang membahayakan nyawa mereka dan implikasinya adalah lebih berat kerana ia boleh disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.