Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof menunjukkan rampasan ketum pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang merampas 240 kilogram (kg) daun ketum, 152 botol air ketum bernilai hampir RM25,000 dalam tiga serbuan berasingan di Putra Perdana pada  Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan pada jam 11 malam, pihaknya menahan sembilan suspek di mana dua daripadanya merupakan warga asing.

Air ketum yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2021

“Tangkapan sindiket penyeludupan daun ketum itu hasil risikan sejak tiga minggu pihak polis selepas mendapat makluman daripada orang awam.

“Dalam serbuan itu, daun ketum yang diisi dalam 25 plastik hitam dan putih ditemui di dalam tiga rumah teres dua tingkat di Putra Perdana yang dipercayai disewa suspek.

“Manakala air daun ketum pula diisi di dalam botol mineral dengan kapasiti 1.5 liter sebelum dipasarkan sekitar Puchong, Putra Perdana dan Subang Jaya,” katanya pada sidang media dii sini hari ini.

Ketua Polis Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof bercakap pada sidang media mengenai rampasan ketum di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2021

Wan Kamarul Azran berkata, daun ketum tersebut dipercayai diperoleh dari Hilir Perak dan aktiviti pemprosesannya dilakukan sejak dua bulan lalu oleh sindiket yang sama.

“Air daun ketum ini dijual pada harga RM20 sebotol dan harga pasaran semasa daun ketum ketika ini bernilai RM40 bagi 1kg. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM12,325,” jelasnya.

Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas peralatan untuk memproses daum ketum termasuk dapur, periuk, tong gas, corong, bekas air, botol mineral kosong, penapis, alat timbang dan beberapa anak pokok ketum.

Dalam pada itu, kelima-lima suspek yang ditahan dalam serbuan itu direman empat hari bermula 16 hingga 20 Februari ini manakala empat lagi direman selama satu hari dengan jaminan polis sejak Selasa lalu.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Antara ketum yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2021

“Hasil ujian saringan awal polis mendapati, tiga suspek positif dadah masing-masing dua jenis syabu dan satu ganja,” ujarnya.

Kes juga disiasat di bawah Sekysen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan polis.

“Dua tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” kata Wan Kamarul Azran. – MalaysiaGazette