Pekerja kedai makan mengemas premis selepas dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam mulai hari ini dan aktiviti penjualan makanan hanya dibenarkan secara bungkus, pandu lalu dan penghantaran di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh Malaysia terus menurun kepada negatif 2.9 peratus pada suku tahun keempat (ST4) tahun lalu selepas mencatatkan negatif 2.2 peratus pada suku ketiga.

Statistik produktiviti buruh mengikut aktiviti ekonomi, yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja dan nilai ditambah per jam bekerja.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, produktiviti buruh kekal dalam trend menurun bagi empat suku tahun berturut-turut, mencatatkan negatif 2.9 peratus pada ST4 2020 merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM23,570 per pekerja (ST3 2020: RM23,257 per pekerja).

Pada suku ini, jumlah pekerja berkurang 0.6 peratus (ST3 2020: -0.4%) kepada 15.2 juta orang sementara Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ST4 2020 menguncup 3.4 peratus (ST3 2020: -2.6%).

”Pada ST4 2020, jumlah jam bekerja menurun 2.7 peratus (ST3 2020: -2.7%) selaras dengan waktu operasi perniagaan yang lebih singkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, merekodkan jumlah jam bekerja sebanyak 8.6 bilion jam.

”Ini menyebabkan produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turun sedikit 0.8 peratus kepadaRM42 per jam setelah meningkat marginal 0.1 peratus (RM41 per jam) pada ST3 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengikut sektor ekonomi, pembuatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif 3.2 peratus (ST3 2020: 3.7%) bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja.

Sektor perlombongan dan pengkuarian terus merekodkan kejatuhan signifikan 9.1 peratus pada ST4 2020 berbanding negatif 4.6 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam pada itu, produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor pembinaan dan perkhidmatan masing-masing jatuh 8.4 peratus (ST3 2020: -10.2%) dan 4.9 peratus (ST3 2020: -3.9%).

Sementara itu, produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor pertanian merekodkan kejatuhan marginal 0.3 peratus berbanding pertumbuhan positif 0.3 peratus pada ST3 2020.

Di samping itu, hampir kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan dalam produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini kecuali pembuatan yang terus mencatatkan kenaikan 6.0 peratus (ST3 2020: 7.0%).

Pembinaan merekodkan kejatuhan produktiviti buruh tertinggi sebanyak negatif 6.7 peratus (ST3 2020: -9.0%), diikuti oleh perlombongan dan pengkuarian (-6.4%) dan perkhidmatan (-2.7%).

Bagi sektor pertanian, penurunan sederhana 0.4 peratus direkodkan pada suku ini (ST3 2020: +0.7%).

Mengulas lanjut mengenai keseluruhan prestasi produktiviti buruh bagi tahun 2020, Mohd Uzir berkata, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja jatuh 5.4 peratus (2019: 2.1%) berikutan krisis kesihatan dan pelbagai fasa kawalan pergerakan yang dilaksanakan sepanjang tahun, dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM88,899 per pekerja (2019: RM93,973 per pekerja).

Sebaliknya, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada 2020 meningkat 3.4 peratus (2019: 2.2%) dengan nilai RM42 per jam (2019: RM41 per jam).

Jumlah jam bekerja bagi tahun 2020 adalah sebanyak 32.0 bilion jam (2019: 35.0 bilion jam), berkurang 8.7 peratus (2019: 2.1%). Sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi yang ditunjukkan melalui nilai ditambah, jatuh kepada 5.6 peratus (2019: 4.3%) manakala
pekerja jatuh 0.2 peratus (2019: 2.1%).

Mohd Uzir Mahidin merumuskan pandemik ini menyebabkan perniagaan perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi.

Dengan penggunaan teknologi, ia akan menambahbaik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan, dan dengan itu dan mengekalkan perniagaan serta pekerjaan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan. – MalaysiaGazette