Pemain-pemain Malaysia bergambar pada perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda lagi apabila perlawanan bakal dilangsungkan pada Jun setelah mendapat persetujuan daripada pasukan bertanding.

Menurut laporan Stadium Astro, Vietnam merupakan pasukan terakhir dalam kumpulan G yang memberi persetujuan dalam mesyuarat yang berlagsung semalam.”

Bulan Jun merupakan tarikh akhir yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana 12 negara yang mendapat kelayakan automatik ke pusingan seterusnya perlu diketahui sebelum Julai.

“Semua negara terlibat bersetuju bahawa keadaan berkemungkinan bulan hadapan tidak akan memberikan peluang untuk menganjurkan perlawanan jadi keputusan yang terbaik telah diambil untuk ditunda kepada bulan Jun,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul.

Pihak AFC akan mengeluarkan jadual bagi perlawanan kelayakan bulan Jun nanti dalam masa terdekat.

Malaysia ketika ini berada di tangga kedua dalam carta kumpulan G di belakang Vietnam dengan sembilan mata, dua mata di belakang skuad bimbingan Park Hang-seo itu. – MalaysiaGazette