Para pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberi kelulusan bermula 8 Mac ini.

Pelaksanaan itu termasuk mana-mana permohonan baharu yang akan diterima selepas tarikh tersebut tertakluk baki sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

“KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online,” kata KWSP dalam kenyataan hari ini.

Menuurut KWSP, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti di bawah:

a. Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b. Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam(6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.

KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat memohon pada tempoh peralihan, supaya menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang telah dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac.

“Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepatkan pembayaran wang i-Sinar,” kata kenyataan itu lagi.

Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada bulan Disember 2020, memanfaatkan 3.3 juta ahli.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848. Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03- 8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my. – MalaysiaGazette