Pengasas aplikasi Sugarbook diringi anggota polis di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 FEBRUARI 2021.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan reman ke atas pengasas aplikasi Sugarbook, dengan menerima alasan peguam bahawa lelaki itu bersedia bekerjasama dalam siasatan polis.

Lelaki berusia 34 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini, pada jam 10.10 pagi dengan tangan bergari diiringi anggota polis ke dewan Mahkamah Tinggi untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat menolak permohonan itu dengan alasan lelaki terbabit bersedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan.

Lelaki itu ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang semalam, selepas polis menerima sebanyak 74 laporan di seluruh negara berhubung kes mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral itu bagi mencari ‘sugar daddy’.

Pengasas aplikasi itu diwakili tiga peguam iaitu Foong Cheng Leong, T. Shashi Devan dan Low Li Qun.

Salah seorang peguamnya ketika ditemui media berkata, reman tidak diperlukan ke atas anak guamnya kerana semua maklumat yang diperlukan polis boleh diperolehi menerusi aplikasi tersebut di dalam talian.

Katanya, aplikasi itu telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan tidak ada keperluan untuk polis mendapatkan tahanan reman.

Ketika ditahan dan dibawa ke mahkamah, polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505 (b), Seksyen 372 (1) (d) / 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette