Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Ekonomi digital kini semakin mendapat perhatian berikutan peningkatan kesan  perkembangan pesat teknologi.

Istilahnya mengalami evolusi sejak tahun 1990an dengan fokus  diberikan terhadap impak Internet kepada ekonomi yang kemudiannya diperluaskan kepada syarikat-syarikat berorientasikan digital dan pengeluaran teknologi-teknologi baharu.

Kini ekonomi digital merangkumi semua aspek ekonomi yang mengeksploitasikan perubahan teknologi menyebabkan anjakan pada pasaran, model perniagaan dan operasi harian sesebuah syarikat.

Bagi Malaysia, ekonomi digital bukannya sesuatu yang baru, malah sebahagian daripada skopnya, seperti perdagangan elektronik (e-dagang) telah hadir di negara ini dan pertumbuhannya meningkat dari tahun ke tahun seiring dengan perkembangan teknologi.

Ini dapat dilihat apabila nilai pasaran e-dagang meningkat kepada RM16 bilion pada 2019 berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya dengan makanan, pengembaraan, pakaian, kosmetik, minyak wangi dan sukan menjadi kategori popular.

Perangkaan tersebut membuktikan negara berada pada landasan betul untuk mengembangkan ekonomi digital yang akan memanfaatkan masyarakat pada masa depan menerusi populasi golongan muda yang berpengetahun teknologi yang semakin meningkat.

Malah dengan gaya hidup digital kini ramai melakukan urusan tanpa tunai dan ini akan menyerlahkan ekonomi baharu yang mana sebanyak 144 transaksi pembayaran elektronik per kapita direkodkan pada 2019.

Selain itu, kemunculan syarikat-syarikat besar yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada umum turut merubah senario cara menjalankan perniagaan dengan perkembangan teknologi.

Usahawan kecil juga mula sedar tentang pentingnya menggunakan teknologi bagi meningkatkan operasi dan paling khususnya ketika penularan Covid-19 pada Mac tahun lalu apabila mereka  mula memanfaatkan teknologi.

Ketika itu banyak kedai dan restoran tidak dibenarkan beroperasi dan dengan beralih kepada teknologi digital yang mampu menggerakkan perniagaan mereka ketika penduduk negara ini berkurung di kediaman masing-masing.

Malah pembelian barangan secara digital dijangka terus popular walaupun keadaan kembali normal.

Daripada segi akses bagi meningkatkan ekonomi digital, Malaysia sepatutnya tidak menghadapi rintangan besar memandangkan 90.1 peratus isi rumahnya mempunyai akses internet.

Malah kadar penembusan telefon bimbit mencecah 135.4 peratus manakala langganan perkhidmatan mudah alih mencecah 70.2 peratus pada 2019.

Banyak manfaat yang boleh diperolehi daripada digital ekonomi termasuk peningkatan kecekapan dan inovasi selain pemilik perniagaan dapat menjangkau pasaran yang lebih luas dalam memperkembangkan perniagaan.

Secara umum inovasi dalam teknologi akan membawa manfaat yang mana ia akan meningkatkan produktiviti dengan menawarkan pengguna barangan dan perkhidmatan yang lebih baik yang akhirnya menambah baik kualiti kehidupan.

Ternyata teknologi digital tidak terhad dalam merangsang sektor ekonomi semata-mata. Pembelajaran secara dalam talian menuntut sistem pendigitalan yang moden, cekap dan komprehensif supaya proses pembelajaran dan pengajaran di semua peringkat dapat dilaksanakan secara berkesan.

Impak teknologi digital dalam bidang pendidikan amat crucial dan ia terbukti apabila pandemik Covid-19 melanda dunia dengan Malaysia tidak terkecuali terpaksa mengorak langkah meneroka insiatif pembelajaran menggunakan platform digital.

Begitu juga dengan gaya hidup di mana kini hampir kesemua aktiviti harian mula berpaksikan aplikasi digital. Sekatan perjalanan bagi membendung Covid-19 misalnya telah membataskan pergerakan rakyat mendorong kepada penggunaan pelbagai aplikasi digital untuk memastikan segala urusan dapat berjalan lancar.

Ia juga sekaligus membantu merangsang ekonomi, contohnya perkhidmatan penghantaran makanan menggunakan teknologi digital membawa manfaat serampang dua mata – menunaikan keinginan pelanggan dan merangsang sektor penyediaan makanan.

Begitu juga dengan urusan rasmi seperti mesyuarat, perbincangan perniagaan dan khidmat nasihat yang dipermudahkan menerusi teknologi digital apabila mesyuarat dilangsungkan menggunakan platform digital seperti Google Meet dan Zoom.

Teknologi digital menjadi pemudahcara dalam menjayakan sesuatu urusan dan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mengurangkan kerenah birokrasi yang sering menjadi punca sesuatu projek tidak dapat menghasilkan pulang yang diharapkan.

Di pihak kerajaan, pelbagai inisiatif untuk melonjakkan lagi ekonomi digital di negara ini telah dilaksanakan.

Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara menjadi penggerak dalam penetapan dasar, pelaksana serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

Majlis itu mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penubuhannya mencerminkan keseriusan kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi 4IR.

Tentunya inisiatif ekonomi digital perlu sentiasa berkembang seiring dengan perubahan pesat semua sektor kehidupan.

Satu dasar yang benar-benar komprehensif perlu digubal untuk memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan dari arus pendigitalan dalam segenap aspek kehidupan mereka sekali gus membantu mewujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Satu lagi inisiatif kerajaan akan diumumkan esok bagi merangsang ekonomi berasaskan digital yang membuka pelbagai peluang termasuk menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Insiatif yang dinamakan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysiai itu akan dirasmikan Perdana Menteri.

MyDIGITAL menggariskan matlamat dan hala tuju dalam memperluaskan penggunaan digital dalam semua sektor ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi digital menjadi semakin penting kepada pertumbuhan negara selaras dengan peredaran masa.

Bagi mengetahui perancangan kerajaan mengenai ekonomi digital, saksikan pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada jam 9.00 pagi Jumaat ini  (19 Februari 2021) menerusi www.epu.gov.my. – MalaysiaGazette