Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Cadangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Kabinet Khas Darurat dibentuk segera ada kewajarannya.

Itu reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ekoran kenyataan berkenaan.

“Kabinet khas ini akan berfungsi dengan kuasa yang terhad sehingga proklamasi darurat berakhir bagi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

“Paling utama adalah urusan pentadbiran negara memerlukan semak dan imbang. Suara dan pandangan rakyat perlu diambil kira dalam setiap dasar atau keputusan yang mahu dibuat melalui wakil-wakil mereka yang telah dipilih dalam pilihan raya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Azalina berhak menyuarakan kebimbangan itu memandangkan beliau merupakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Datuk Seri Azalina Othman Said turut menzahirkan kebimbangan penggantungan Parlimen telah mengundang kepincangan kepada dasar pengasingan kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judisiari di negara ini. Pengasingan kuasa Eksekutif (Badan Pentadbiran), Legislatif (Badan Perundangan) dan Judisiari (Badan Kehakiman).

“Pengasingan kuasa atau separation of powers kepada tiga bahagian badan itu juga merupakan satu doktrin terpenting dalam pemerintahan demokrasi.

“Antara lain bertujuan mengelak pertindihan bidang kuasa dan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa kepada badan tertentu.

“Tetapi kini badan eksekutif pada pandangan beliau tampak mempunyai kebebasan tanpa doktrin separation of powers,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Badan perundangan dimandulkan, kata Azalina dalam surat kepada AG