KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengesahkan menerima surat tuntutan saman daripada peguam Perdana Menteri, dan akan menyerahkan kepada peguamnya untuk maklumbalas mengenainya.
Katanya, beliau tidak perlu memohon maaf atau memadamkan posting ‘tuduhan’ itu yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya minggu lalu.
Bahkan, tegasnya, beliau memilih untuk ke mahkamah bagi membela dirinya, di samping berpeluang untuk bersama rakyat yang membantah amalan ‘antara dua darjat’ dalam isu kuarantin.
“Saya sahkan telah menerima LOD daripada Peguam Perdana Menteri. Dia akan ambil tindakan saman RM10 juta terhadap saya.
“Saya akan serahkan kepada peguam saya untuk respond surat LOD tersebut, dan sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana UMNO dibuli,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rabu lalu, Muhyiddin menuntut Dr. Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnahnya menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.
Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Dr. Mohd Puad Rabu, Muhyiddin, antara lain menuntutnya memadam kenyataan bertarikh 9 Februari lalu mengenai kuarantin dari laman facebooknya.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu berkata, dirinya telah dituduh memfitnah Perdana Menteri, sedangkan beliau hanya bertanya dan meminta penjelasan.
“Kalau itu pun disaman, maka amat wajar saya melawan di mahkamah,” katanya.
Kata beliau, oleh kerana peraturan kuarantin tiga hari untuk Menteri dibuat tergesa-gesa, maka ia isu “kepentingan awam” yang perlu ditanya dan dipersoalkan.
Ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Apakah ‘kuarantin’ tiga hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?
“Pada saya, amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak,” katanya. – MalaysiaGazette

















Dalam masa darurat ni tak boleh bertanya ya…kena yes jaaa semua arahan..nama pun darurat…