KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan kira-kira RM550,000 untuk menjayakan 253 Program Tuisyen Rakyat pada tahun 2020 walaupun ketika wabak Covid-19 sedang melanda.
Menurut Pengerusinya, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin, program tuisyen itu diadakan secara norma baru iaitu menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengelakkan pelajar terdedah dengan virus Covid-19 jika berada di luar.
Kata beliau, tujuan program itu dianjurkan adakan untuk membantu meningkatkan keyakinan pelajar terutama tingkatan lima dalam menjawab soalan peperiksaan bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
“Program ini dikelolakan oleh Kelab Rakan Motivasi (KRM) Kuala Lumpur yang merupakan badan bertindak bagi melaksanakan inisiatif ini.
“Saya harap program tuisyen ini dapat memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar dan miskin bandar dalam menambah ilmu pengetahuan dan cara menjawab soalan peperiksaan.
“Semoga dengan usaha ini, pelajar berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti,” katanya ketika merasmikan Program Tuisyen Road to Success yang diadakan secara atas talian, semalam.
Turut hadir, Pengerusi KRM Kuala Lumpur, Ahmad Badli Badaruddin dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Nazir Hussin berkata, ketika negara masih berhadapan dengan pandemik gelombang ketiga Covid-19, YBR masih berharap program itu dapat memberi manfaat kepada pelajar yang ditaja dan mampu menjawab peperiksaan SPM pada 22 Februari ini.
Beliau berharap ada organisasi lain tampil membantu pelajar dengan menganjurkan program seumpamanya walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti kelas tuisyen secara atas talian atau pelbagai lagi bentuk program kemasyarakatan.
“Kita akan memperbanyakkan program seperti ini untuk membantu pelajar mendapat pendidikan terbaik, sekali gus meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan, walaupun dilakukan di alam maya,” katanya.
Beliau memberitahu, YBR telah melakukan Program Tuisyen Rakyat sejak 2015 lagi untuk meningkatkan tahap pendidikan dan membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan mendapat bimbingan kelas tambahan.
Katanya, sehingga tahun lepas, seramai 80,445 pelajar telah memperoleh manfaat melalui program itu dengan jumlah peruntukan disediakan kira-kira RM3.02 juta. – MalaysiaGazette
















