Gambar hiasan

PEMIMPIN dalam sesebuah negara merupakan individu yang sangat penting dalam mencorak dan mentadbir negara. Kehebatan seseorang pemimpin juga mencerminkan kecemerlangan dan kegemilangan yang membentuk negara. Sudah pasti pemimpin yang baik juga mengutamakan kebajikan dan kemaslahan rakyat dan ummat yang berada di bawah pentadbirannya.

Walau bagaimanapun, kadang kadang apabila kabur dengan habuan dunia
yang sementara menyebabkan sesetengah pemimpin lupa akan tanggungjawab yang sebenar yang sepatutnya dipikul dengan penuh amanah dan integriti. Manusia adalah dilahirkan dan ditugaskan sebagai khalifah iaitu pemimpin yang mentadbir dan menguruskan bumi.

Keistimewaan manusia yang Allah SWT kurniakan adalah mempunyai akal dan fikiran yang menyebabkan ia menjadi makhluk Allah yang sangat istimewa dan unik. Manusia menjadi pemimpin dalam segenap lapisan masyarakat bermula daripada memimpin diri sendiri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

Manusia dikurniakan keistimewaan mempunyai potensi kepemimpinan yang amat luar biasa. Akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT mampu memanfaatkan sumber alam serta menciptakan sebuah peradaban. Seperti Firman Allah SWT dalam Surah al Baqarah
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan
khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang
merusak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan
menyucikan nama-Mu?”Allah berfirman,“Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu
ketahui.”

Apabila kita berbicara tentang manusia yang paling ideal yang menjadi pemimpin teladan,
sudah pasti kita kaitkan dengan figur insan syumul Rasulullah SAW. Baginda adalah
pemimpin agama dan juga pemimpin negara. Rasulullah merupakan suri tauladan bagi setiap orang yang berada di bumi ini. Firman Allah SWT dalam Surah Al Ahzab ayat 21, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”. 

Rasullullah SAW seorang pemimpin yang hebat dan dikurniakan empat elemen utama
iaitu, Sidiq, Amanah, Tabliq dan Fathonah. Sifat Sidiq membuatkan Nabi Muhammad SAW
bersifat jujur dalam setiap perbuatan dan perkataanya. Manakala sifat amanah membuatkan Rasullah menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh integriti.

Nabi Muhammad juga dikurniakan sifat tabliq iaitu sentiasa menyampaikan kebaikan kepada manusia. Sidiq berarti jujur dalam perkataan dan perbuatan, amanah berarti dapat dipercaya dalam menjaga tanggung jawab, Tablig berarti menyampaikan segala macam kebaikan kepada rakyatnya dan sifat fathonah membuatkan Nabi cergas dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi.

Dengan mengikut tauladan kepimpinan yang ditunjukkan Rasululah SAW, ramai di
kalangan para sahabat menjadi pemimpin yang hebat. Namun, tidak hidup sezaman dengan Rasulullah tidak harus menjadi alasan pemimpin-pemimpin mengambil ringan sunnah kepimpinan dalam Islam.

Ambillah contoh Khalifah Umar Abdul Aziz yang tidak lahir sezaman dengan Nabi namun mampu menjadi pemimpin yang kuat jati diri Islam. Keberkesanan pemerintahan dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau dapat dilihat dari perubahan sikap rakyatnya sendiri.

Sebelum zaman pemerintahan Khalifah Umar, rakyat sering bercakap tentang hal berbentuk material dan keduniaan kerana itulah perbincangan utama pemimpin-pemimpin ketika itu. Ini berbeza ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya berlangsung selama dua tahun setengah. Ketika itu rakyat berbicara tentang ibadah, Al-Quran dan berlumba-lumba membuat amal kebaikan. Hasil daripada perubahan sikap rakyat yang dipengaruhi pemimpin, wang zakat melimpah ruah dan kemiskinan dikurangkan.

Dengan kata lain keadaan dan sikap rakyat adalah cerminan sikap dan akhlak pemimpinnya. Maka menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menjadi model tauladan yang baik kepada masyarakat. Kini di kala rakyat dilanda kesempitan hidup akibat pandemik COVID-19, pemimpin haruslah lebih sensitif dan ambil cakna kesusahan rakyat disamping mempamerkan akhlak terpuji.

Perlumbaan untuk jawatan harus dielakkan, dan kebajikan rakyat perlu diutamakan.
Hakikat dan amanah sesebuah jawatan itu perlu lebih difahami pemimpin. Hayatilah
peristiwa dimana Khalifah Umar Abdul Aziz yang menangis ketika namanya disebut-sebut
sebagai bakal khalifah. Jika pemimpin masa kini bertepuk sorak dan berucap gembira atas jawatan yang diterima, lantikan Umar bin Abdul Aziz pula diringi tangisannya kerana
merasakan jawatan tersebut merupakan ujian besar buat dirinya.

Sebaik dilantik, Khalifah Umar meminta nasihat Hasan al-Basri tentang khalifah yang
adil dan tanggungjawabnya. Antara nasihat Hasan al-Basri di dalam suratnya berbunyi: “Hai Amirul Mukminin! Janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok di mana kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri dihadapan Tuhan di tengah kelompok para malaikat, para Nabi dan Rasul” (dipetik dari buku karangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri).
Sesungguhnya pemimpin yang adil dan amanah adalah rahmat untuk rakyat. Semoga
Allah SWT mengurniakan kita pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar dan memahami erti amanah dan beratnya tugas yang digalas mereka.

Dr Habibah Ismail,
Pensyarah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.