PEMBENTUKAN  karekteristik belia negara bangsa (nation state) Malaysia merupakan suatu proses yang unik dengan pelbagai lapisan masyarakat berlatar belakangkan kaum, budaya, kepercayaan dan amalan yang berbeza.- Gambar hiasan.

PEMBENTUKAN  karekteristik belia negara bangsa (nation state) Malaysia merupakan suatu proses yang unik dengan pelbagai lapisan masyarakat berlatar belakangkan kaum, budaya, kepercayaan dan amalan yang berbeza.

Namun negara majmuk ini masih gagal untuk memperkukuhkan perpaduan dalam negara.

Cabaran ini ternyata amat getir apabila negara pernah mengalami peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Peristiwa hitam itu meninggalkan kesan yang amat ketara kepada negara.

Sebagai solusi pelbagai dasar dilahirkan untuk mengembalikan kepercayaan serta perpaduan di kalangan rakyat Malaysia antaranya Dasar Ekonomi Baru (DEB), gagasan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan di mana semua ini adalah merupakan satu manifestasi terhadap kesungguhan kerajaan dalam menyuburkan perpaduan kaum di negara ini.

Tindakan kerajaan signifikan apabila kita kaitkan perpaduan kaum dengan golongan belia.

Golongan yang merangkumi hampir separuh daripada populasi Malaysia mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mencorak masa depan negara.

Inisiatif sedemikian mendapat sokongan serta pendedahan yang meluas setelah Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia pada tahun 2009 sebaik sahaja mengambilalih tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Gagasan 1Malaysia merupakan kemuncak kepada keinginan dan hasrat beliau untuk melihat erti perpaduan dalam maksud yang sebenar dan asli. Gagasan 1Malaysia merencanakan harapan golongan ini pada masa depan, dari sudut perpaduan kaum.

Golongan Belia dan Pemahaman Aspirasi Perpaduan

Antara punca yang menjadi penghalang kepada usaha memupuk perpaduan di kalangan belia negara ini adalah mereka kurang memahami budaya dan adat resam kaum lain.

Rakyat Malaysia rata-rata hidup dalam lingkungan budaya kaum sendiri sahaja. Pergaulan yang terhad dengan kaum-kaum lain, kefahaman mereka terhadap budaya dan adat resam kaum-kaum lain menjadi dangkal.

Ini dapat diukur melalui kajian psikologi di mana kebanyakan kaum di negara ini berasa lebih selesa dan selamat hidup dalam kelompok sendiri sahaja.

Masalah timbul apabila tiada interaksi dan keakraban antara kaum terbatas, maka akan rendahlah kefahaman sesuatu kaum itu terhadap budaya dan adat resam kaum-kaum yang lain. Jika zon selesa terhalang malah silaturahim antara kaum juga terbatas sehingga sikap toleransi serta tolak ansur sesama kaum tidak wujud.

Jika kita meneliti secara dalam, terdapat perbezaan yang jelas di antara ‘mengetahui’ dan ‘memahami’. ‘Tahu’ tidak semestinya ‘faham’, dan ‘faham’ tidak akan wujud tanpa ‘tahu’ terlebih dahulu. Kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu memahami budaya dan adat resam kaum ini.

Mungkin generasi kini menimbulkan persoalan mengapa kita perlu memahami budaya dan adat resam kaum lain di negara ini? Mereka perlu memahami supaya kita menjadi lebih bertolak ansur sesama kaum dan lebih bertoleransi.

Jika perkara ini berjaya diterapkan dalam pemikiran anak muda, maka hasilnya ialah, tidak lain dan tidak bukan, perpaduan kaum yang jitu.

Sebagai contoh, ada kaum-kaum lain yang bukan Islam di negara ini yang mungkin tertanya-tanya mengapa perlunya azan dikumandangkan di corong-corong pembesar suara di masjid-masjid dan surau-surau, sehinggakan wujud tanggapan ekstrem (walaupun mungkin tidak begitu ketara) yang mengatakan bahawa ia (mengkumandangkan azan) suatu bentuk pencemaran bunyi serta mengganggu keselesaan dan ketenteraman kaum lain yang bukan beragama Islam yang tinggal berhampiran masjid dan surau dalam satu-satu kawasan perumahan.

Perkara ini menjadi semakin melebar apabila wujud pemikiran di kalangan kaum bukan Islam (walaupun mungkin hanya desas-desus atau segelintir daripada mereka sahaja) yang beranggapan bahawa jika mereka hendak membeli rumah, dua perkara yang mereka akan pastikan, pertama rumah jauh dari masjid atau surau, kedua rumah jauh dari loji atau kolam tapisan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK).

Mereka tertanya-tanya mengapa perlunya mengkumandangkan azan ini? Tidak bolehkah orang Islam menunaikan ibadat mereka tanpa azan? Cuba bayangkan, bagaimanakah agaknya perasaan dan reaksi kaum Melayu-Islam di satu-satu kawasan perumahan itu apabila ada kaum lain yang mempertikaikan perkara ini?

Senario kedua pula kaum lain yang bukan penganut agama Hindu ‘merungut’ bahawa setiap kali penganut Hindu menunaikan ibadat mereka sempena perayaan Thaipusam, maka harga buah kelapa akan naik mendadak, terutamanya di sekitar Batu Caves.

Ini disebabkan oleh penganut Hindu yang menjalankan upacara memecahkan buah kelapa, bukan sebiji dua, bahkan beratus-ratus biji.

Bukan orang India-Hindu sahaja yang menggunakan buah kelapa, dan peningkatan mendadak harga buah kelapa ketika perayaan Thaipusam ini telah menyusahkan kaum lain.

Tidak bolehkah buah kelapa digantikan dengan buah-buahan yang lain yang tidak digunakan oleh setiap kaum? Cuba bayangkan, bagaimanakah agaknya perasaan dan reaksi kaum India-Hindu ini apabila ada kaum lain yang mempertikaikan perkara ini?

Dalam senario ketiga pula, kaum lain selain daripada kaum Cina yang menganggap perayaan Qing Ming itu suatu pencemaran alam sekitar.

Ini kerana ketika perayaan itu dilangsungkan, kaum Cina yang menyambutnya akan membakar ribuan kertas ‘wang neraka’ dan replika pelbagai barangan seperti kereta, rumah, dan lain-lain yang diperbuat daripada kertas sempena memperingati saudara-mara, kaum-kerabat serta nenek-moyang mereka yang telah meninggal dunia.

Tidak bolehkan benda-benda yang diperbuat daripada kertas itu tidak dibakar, sebaliknya ditanam sahaja di dalam tanah? Cuba bayangkan, bagaimanakah agaknya perasaan dan reaksi kaum Cina ini apabila ada kaum lain yang mempertikaikan perkara ini?

Ketiga-tiga senario yang dinyatakan di atas adalah hanya sebahagian kecil daripada persoalan yang ditimbulkan benak fikiran kaum-kaum di negara ini tentang amalan agama, budaya dan adat resam kaum lain.

Persoalan sebegini ditimbulkan kerana ramai anak Malaysia masih tidak memahami maksud simbolik budaya dan adat resam sesuatu kaum itu.

Kita hanya sekadar mengetahui, tetapi tidak pernah berusaha untuk memahami dengan lebih mendalam mengapa kauam-kaum di Malaysia ini mengamalkan sesuatu budaya dan adat resam itu.

Pemikiran rakyat Malaysia yang beranggapan bahawa itu bukan budaya dan adat resat kaum saya serta persoalan mengapa saya perlu ambil tahu serta memahami sesuatu perkara yang bukan miliknya.

Jika perkara ini menjadi amalan anak muda Malaysia maka amatlah malang sekali bagi negara Malaysia dan rakyatnya yang berbilang kaum kerana toleransi dan sikap tolak ansur sesama kaum tidak akan dapat diwujudkan dengan sikap sebegini.

Dasar Belia serta Prinsip Kenegaraan : Membina Perpaduan Belia Menerusi Model Baru

Aspirasi serta hala tuju Menteri Belia Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican yang mencetuskan idea pembaharuan semasa sesi dialog bersama Ahli Dewan tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Model Baharu Pembangunan Belia memberi nafas baru kepada pembangunan belia di negara ini. Mekanisma pembentukan model baharu belia ini harus dinilai karektaristik kenegaraan belia dan penerapan nilai perpaduan di kalangan belia demi menjamin pembanguan belia dari segi intelektual serta rohani untuk membentuk sebuah negara bangsa yang berlandaskan perpaduan.

Cetusan idea keperluan model baharu pembangunan belia ini dengan memadankan secara spesifik kepada Konsep III DBM iaitu Futuristik, Releven dan Terkini. Secara dasarnya Konsep III DBM merangkumi 3 Teras iaitu i.) Pembangunan Belia Positif (PYD) ii.) Dari Belia untuk Belia dan iii.) Belia Sebagai Sumber dan Aset Negara.

Namun satu lagi elemen tambahan perlu diselitkan dalam pembinaan model baharu belia iaitu kenegaraan dan Perpaduan. Ramai yang kurang faham serta salah tafsir, bezanya belia terdahulu dan kini.

Dahulu perjuangan golongan belia adalah untuk menuntut kemerdekaan, kini pula mereka bertanggungjawab mengekalkan kemerdekaan serta mengisi erti sebenar kemerdekaan. Penghayatan kemerdekaan tanpa mengubah maksud asal kemerdekaan juga adalah kewajiban golongan muda masa kini.

Dengan adanya elemen Kenegaraan dan Perpaduan diterapkan dalam Model Belia Baharu yang bakal dilahirkan ini kelak dapat mencorak golongan belia yang memahami Malaysia serta membentuk Negara Bangsa yang diimpikan.- MalaysiaGazette

Sivanesan Tamil Selvam
Felo Penyelidik
Majlis Belia Malaysia

1 Komen

  1. DEB gagal menjamin majority ekonomi untuk majority pribumi Melayu lantas bercanggah dengan Kontrak Sosial dan hak perlembagaan keistimewaan Melayu.

Comments are closed.