Walaupun Muafakat Nasional telah dimeterai, namun kerjasama UMNO-Pas Terengganu belum muktamad sepenuhnya. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kononnya Pas Terengganu hanya bersetuju bekerjasama parti itu dalam PRU-15 jika diperuntukan empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana sekumpulan penyelidik bebas di Terengganu pada Jun 2019 mendapati hasilnya sangat membanggakan.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang turut terlibat dengan kumpulan penyelidik itu berkata, penerimaan pemimpin dan penyokong UMNO kepada kerajaan Pas di Terengganu berada pada tahap yang baik.

Begitu juga katanya, penerimaan mereka kepada Menteri Besar Pas Terengganu juga amat baik dengan 91.25 peratus responden yang ditemubual secara rawak dan tatap muka bersikap positif.

“Dalam konteks dapatan kaji selidik inilah saya terperanjat bila membaca kenyataan Tajuddin dalam sebuah portal berita hari ini mengenai status kerjasama UMNO dan Pas di Terengganu.

“Mengikut Ahli Parlimen Pasir Salak itu, UMNO Terengganu hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15 jika diperuntukan dengan empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN dan beliau difahamkan syarat ini mungkin tidak dilayan oleh Pas.

“Mengapa UMNO Terengganu meletakkan peruntukan empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan Pas, ketika 65.07 peratus daripada pemimpin dan penyokong UMNO Terengganu sebelum ini bersetuju ianya dibuat mengikut status quo?” soal beliau dalam kenyataanya hari ini.

Kata beliau, mungkinkah UMNO Terengganu kini sudah lebih yakin UMNO akan dapat merampas kembali negeri itu dari tangan Pas serta sudah tidak yakin kerjasama politik kedua parti di peringkat nasional adalah jalan untuk membolehkan UMNO berkuasa.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan dua daripada enam kerusi Parlimen yang dimenangi Pas dalam PRU-14 yang lalu bukan dengan majoriti besar iaitu kerusi Kemaman dengan majoriti 2,163 undi dan kerusi Setiu dengan majoriti 2,802 undi.

Begitu juga enam daripada 22 kerusi DUN yang dimenangi Pas ketika itu bukan dengan majoriti yang besar iaitu Ajil dengan majoriti empat undi, diikuti Jabi (55 undi), Ladang (363 undi), Pengkalan Berangan (490 undi), Air Putih (746 undi) dan Kuala Berang (1,070 undi).

“Jika logik kemenangan majoriti kecil calon Pas ini mahu digunakan oleh UMNO Terengganu untuk menuntut kerusi, logik juga Pas Terengganu menuntut beberapa kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi UMNO dalam PRU14.

“Misalnya, satu daripada dua kerusi Parlimen dimenangi UMNO bukan dengan majoriti besar iaitu Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi dan empat daripada 10 kerusi DUN iaitu Bukit Besi (46 undi), Kuala Besut (143 undi), Batu Rakit (299 undi) dan Kijal (1,265 undi),” katanya.

Beliau juga mengingatkan Tajuddin bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional telah berkali-kali menegaskan, formula utama perundingan kerusi membabitkan UMNO dan Pas adalah pengekalan status quo.

“Maknanya, semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi calon UMNO dalam PRU-14 akan ditandingi calon parti itu dalam PRU15, manakala semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi calon Pas dalam PRU-14 akan ditandingi calon Pas dalam PRU15.

“Bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan, UMNO Terengganu akan bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN tidak sepatutnya dibuat, kerana paling keras sekalipun pemimpin UMNO negeri itu yang saya temui dahulu sekadar mahukan pertembungan berlangsung di kerusi yang dipertikaikan sahaja.

“UMNO Terengganu sepatutnya mengenepikan sentimen yang belum terbukti bahawa kekalahan parti itu dalam PRU14 adalah berpunca daripada faktor dalaman dan akan dapat merampas kembali negeri itu dari Pas jika mereka bertembung dalam PRU15 demi untuk kepentingan ummah di peringkat nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kahkahkahkah.. Bergaduh lah korang rebut kerusi… Muafakat taik kucing.. Masing2 nk benam sesama sendiri.. Kahkahkah

Comments are closed.