Pengerusi KRT Taman Bunga Raya, Amirhakeem Ahmad Dahalan bersama 20 penduduk menunjuk ke arah pusingan U yang menyukarkan Penduduk Taman Bunga Raya, Wangsa Maju masuk simpang perumahan Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 22 FEBRUARI 2021.

WANGSA MAJU – Pemaju Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE-DUKE 3), Konsortium Lebuhraya Utara-Timur KL Sdn Bhd diminta menunaikan janji mereka untuk menyediakan kemudahan keselamatan yang tertangguh sejak setahun lalu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Bunga Raya, Amirhakeem Ahmad Dahalan mendakwa, pihak pemaju berjanji untuk memasang garisan kuning speed breaker, lampu amaran dan papan tanda susur masuk ke perumahan itu, namun masih gagal ditunaikan.

“Perkara ini kita telah bangkitkan kepada pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) berkenaan pusingan U dari Jalan Genting Klang masuk Taman Bunga Raya pada Februari tahun lalu.

“Kami ada minta pihak pemaju SPE-Duke 3 untuk mengadakan beberapa perkara demi keselamatan pengguna jalan raya, antaranya memasang speed breaker.

“Pihak pemaju telah berjanji untuk mengadakan speed breaker itu demi keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Genting Klang, hari ini.

Berdasarkan minit mesyuarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertarikh 10 Februari tahun lalu, pihak berkuasa itu ada membuat lawatan ke tapak projek di persimpangan Jalan Genting Klang masuk ke Jalan Malinja, Taman Bunga Raya, di sini.

Ketika itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan (ITIS) DBKL adalah Yu Chuan Hock.

Dalam lawatan tersebut, perkara yang ditimbulkan pihak KRT Taman Bunga Raya adalah soal keselamatan penduduk terbabit dengan penggunaan pusingan U di Jalan Genting Klang untuk masuk ke perumahan berkenaan melalui Jalan Malinja.

Hasil lawatan tapak dan mesyuarat itu mendapati SPE-Duke 3 bersetuju untuk menambah lampu amaran, memasang papan tanda berhati-hati dan memasang papan tanda susur masuk ke Taman Bunga Raya.

Menurut Amirhakeem, soal keselamatan timbul apabila penduduk Taman Bunga Raya membuat pusingan U di Jalan Genting Klang dan dalam masa sama pengguna jalan raya tidak dimaklumkan kewujudan laluan pintas itu.

“Penduduk perlu membuat pusing U untuk masuk ke Taman Bunga Raya dan perlu menghimpit ke kiri Jalan Genting Klang, dari laluan tiga ke laluan satu.

“Tindakan itu sangat berbahaya. Sedangkan pemaju menjanjikan speed breaker sebelum pusingan U supaya kenderaan yang lalu di Jalan Genting Klang akan perlahan,” jelasnya.

Jelasnya, setelah setahun perkara itu dibincangkan namun masih tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak pemaju.

“Sebagai penduduk, kami berasa sedih kerana kita tidak mahu berlaku kemalangan maut hanya kerana kemudahan keselamatan itu gagal disediakan oleh pemaju,” katanya.

Ditanya tentang maklum balas daripada pihak pemaju, Amirhakeem berkata, jawapan yang diterima amat hambar tanpa mendapat sebarang kata putus.

“Kita telah beberapa kali menghubungi wakil pemaju, untuk mempercepatkan proses ini, nampaknya hingga ke hari ini, masih belum ada tindakan daripada pemaju.

“Kita juga ada mengajukan perkara ini kepada pihak DBKL supaya memanggil pemaju fasiliti ini,” jelasnya.

Amirhakeem tidak menolak kemungkinan pemaju terbabit cuba mencabar pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana masih gagal melunaskan janji yang disepakati dalam mesyuarat setahun lalu.

“Nampaknya mereka (pemaju) cuba menguji (kesabaran) DBKL dengan perkara ini.

“Sebagai pemaju sudah pasti membuat keuntungan yang cukup besar dengan Lebuhraya SPE-DUKE 3 yang sedang berjalan ketika ini.

“Sepatutnya dengan mudah mereka boleh menyediakan kemudahan keselamatan ini” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast