WANGSA MAJU – Kegagalan pemaju Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE-DUKE 3) menyediakan kemudahan keselamatan menimbulkan keresahan penduduk Taman Bunga Raya, di sini yang tertangguh sejak setahun lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette di Taman Bunga Raya mendapati penduduk perlu membuat pusingan U di Jalan Genting Klang dan menukar laluan dengan segera sebelum susur masuk ke Jalan Malinja untuk ke kawasan perumahan itu.
Soal keselamatan seolah-olah diabaikan pihak pemaju kerana tiada papan tanda amaran mahupun garisan kuning atau speed breaker sebelum pusingan U dan ia menyukarkan pengguna jalan raya lain melalui kawasan itu.
Menurut Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 6, Wangsa Maju, Nordin Mohamed, hampir 3,000 penduduk Taman Bunga Raya terjejas apabila simpang ditutup dan digantikan dengan pusingan U di Jalan Genting Klang.
“Kalau boleh kita minta pemaju pasang lampu (amaran) dari hujung sana, boleh tahu di sini ada tempat pusingan U.
“Bila orang tahu ada pusing U, mudah kita lalu sini dan ke Taman Bunga Raya. Kebanyakan yang buat pusingan U adalah penduduk di sini, bukan orang luar.
“Masalah kita bila nak himpit jalan dari kanan ke kiri dan susur masuk pula terlalu pendek dan ia bermasalah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Genting Klang, hari ini.
Selain risiko kemalangan, Nordin menjangkakan wujud masalah lain termasuk kesesakan lalulintas apabila Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARC) mula beroperasi semula.
“Bila TARC dibuka semula, Jalan Genting Klang akan kembali sesak dan keadaan semakin parah jika masalah pusingan U ini tidak diselesaikan segera.
“Ini kerana penduduk dan pelajar terpaksa beratur panjang, menunggu sehingga lalu lintas reda sebelum susur masuk Jalan Malinja sama ada ke Taman Bunga Raya atau kolej itu,” katanya.
Nordin juga mendesak pemaju agar menggantikan pusingan U dengan simpang jalan yang lengkap dengan lampu trafik di susur Jalan Malinja bagi menjamin keselamatan penduduk.
“Sejak simpang jalan ditutup (susur Jalan Malinja) dan digantikan dengan pusingan U, penduduk tiada pilihan untuk ke Taman Bunga Raya.
“Jangan tutup terus pusingan U, susah kami nak keluar masuk. Kalau boleh gantikan pusingan U dengan simpang dengan lampu trafik,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Taman Bunga Raya, Mohamad Taupik Hussain pula berkata, penunggang motosikal antara pengguna jalan raya yang sukar dilihat pada waktu malam di Jalan Genting Klang.

“Bila sebelah petang, ketika waktu puncak orang balik kerja, memang banyak kenderaan, di samping itu motor yang sukar kita nampak pun agak membahayakan.
“Kalau boleh perbanyakkan papan tanda memberitahu tentang adanya pusingan U di sini.
“Kalau boleh segerakan tindakan sebelum kejadian tidak diingini berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















