Ramai keliru rentas daerah, sama ada daerah pentadbiran mahupun daerah sempadan polis.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah keluarkan arahan supaya semua hotel di seluruh negara ditutup sama ada ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) mahupun PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika ada mana-mana hotel ditutup sepanjang pelaksanaan tiga fasa PKP itu, kemungkinan disebabkan kekurangan pelanggan.

“Kalau ada (hotel) yang ditutup atau tidak beroperasi, itu mungkin disebabkan kekurangan pelanggan. Dari segi arahan, kerajaan tidak pernah keluarkan arahan supaya hotel ditutup.

“Yang kita arah tutup ialah kawasan pelancongan di negeri yang dikuatkuasakan PKP, manakala negeri bawah PKPB dan PKPP boleh beroperasi dengan SOP yang ketat.

“Saya harap, dengan kenyataan ini akan menjawab persoalan dari kalangan pengusaha hotel, bahawa kerajaan tidak pernah mengarahkan mereka menutup hotel. Mereka boleh buka dengan SOP yang ketat,” katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau turut menjawab dakwaan kononnya kerajaan flip flop dalam membuat perubahan SOP.

Katanya, kerajaan tidak sekali-kali flip flop, melainkan perubahan itu dibuat mengikut situasi semasa seperti membenarkan orang ramai berniaga dengan SOP ketat.

“Ramai lagi yang keliru bila kita buat perubahan SOP. Mereka tuduh kerajaan flip flop. Bukan flip flop, kita buat perubahan berdasarkan situasi semasa. Rakyat nak hidup, kita benarkan mereka berniaga dengan SOP yang ketat.

“Itu bukan flip flop, tapi dibuat atas kepentingan tertentu. Bukan kita sengaja longgarkan. Kalau kita kekalkan dengan SOP lama, ramai rakyat tidak mampu teruskan kehidupan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menjelaskan, data dari Kementerian Kesihatan (KKM) mutakhir ini menunjukkan trend kes harian menurun dari lebih 5,000 kes pada Januari lalu sehingga sekitar 2,000 kes ketika ini.

Katanya, walaupun angkanya masih empat digit, namun ia menunjukkan penurunan dan ini salah satu kejayaan kerajaan dalam mengetatkan SOP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Antara kejayaan yang kita lakukan ialah mengawal pergerakan rentas daerah dan negeri, yang menjadi punca kes harian positif Covid-19 meningkat mendadak.

“Contohnya, Kelantan adalah negeri yang semua daerahnya hijau, tetapi kerana berlaku rentas negeri, mereka yang dari zon merah pulang ke kampung, menyebabkan negeri itu merekodkan kes harian yang tinggi secara mendadak.

“Oleh itu, apabila kita kekalkan pergerakan rentas daerah dan negeri, maka kes harian menurun, dan kita berharap trend ini terus turun dan terkawal sepenuhnya,” katanya.

Berhubung kekeliruan orang ramai dengan rentas daerah, Ismail berkata, daerah yang dimaksudkan oleh kerajaan ialah daerah pentadbiran yang diketuai Pegawai Daerah serta daerah persempadanan polis.

Bagaimanapun, katanya, dalam negeri yang dilaksanakan PKP, kerajaan menggunapakai daerah pentadbiran Pegawai Daerah seperti contoh, daerah Sepang, daerah Kuala Selangor di Selangor serta daerah Temerloh dan daerah Jerantut di Pahang.

“Rentas daerah ini memang tidak boleh, tetapi orang ramai yang dikenakan kompaun RM1,000 kerana rentas sempadan polis, boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Kadar RM1,000 itu adalah maksimum. Mereka boleh membuat rayuan dan atas budi bicara Pegawai Kesihatan daerah untuk meringankan kepada RM100 atau RM50,” katanya. – MalaysiaGazette