Hasil rampasan dadah bernilai RM7.8 juta pada sidang media di IPK Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis merampas dadah jenis heroin base yang merupakan pati pembuatan heroin seberat 87.86 kilogram (kg) bernilai RM7.8 juta dalam enam serbuan berasingan di sekitar ibu negara dan Selangor pada 19 Februari lalu.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat, dalam serbuan jam 4 petang hingga 9.20 malam itu, pihaknya telah menahan enam suspek termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 48 tahun.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati wanita tempatan itu dipercayai ketua sindiket dadah dianggotai lima lelaki lain yang ditahan dalam serbuan sama.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap suspek membawa kepada rampasan 240 kepingan dadah jenis heroin base dianggarkan seberat 87.86kg.

“Setiap kepingan pati heroin itu bernilai RM62,000 dan jika kesemuanya diproses menjadi heroin, ia boleh digunakan kira-kira 3.26 juta penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah jenis heroin base pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, dalam serbuan sama, pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis glock 26 bersama sembilan butir peluru 9mm dan sepucuk pistol jenis glock 30 bersama 16 butir peluru 0.45mm.

“Senjata api yang ditemui kemungkinan pakej daripada pembelian dadah atau digunakan untuk menakutkan pengedar jika gagal membuat bayaran dadah.

“Turut dirampas tiga kenderaan mewah dan dua kenderaan tempatan bernilai RM330,000 serta wang tunai berjumlah RM75,000 dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM8.2juta,” jelasnya.

Mengulas lanjut, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai telah bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan bekalan dadah diperolehi dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Sindiket ini dipercayai mengambil kesempatan menggunakan kenderaan barang keperluan untuk memudahkan mereka melepasi sekatan jalan raya (SJR) dan Op Benteng di sempadan pintu negara.

“Wanita yang ketua suspek ini yang mahir bahasa negara jiran memudahkan lagi dadah itu diseludup walaupun pihak berkuasa menjalankan operasi sepanjang masa,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek yang ditahan reman selama lima hari bermula 20 Februari lalu hingga 24 Februari ini.

“Pihak polis akan memohon agar tempoh reman kesemua suspek yang tamat esok dilanjutkan bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelasnya lagi, hasil siasatan awal juga mendapati empat daripada enam suspek berkenaan didapati positif dadah jenis syabu.

“Manakala tiga suspek pula mempunyai tiga rekod jenayah dan tiga rekod dadah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast